"Saya tidak kisah untuk berkongsi tentang kisah cinta saya dengan masyarakat. Cuma sekarang saya lebih gemar cakap tentang karier serta pelajaran berbanding perihal cinta" – HAZIQ

DALAM blog peribadi Hazwan Haziq Rosebi atau lebih dikenali sebagai Haziq, haziqganyut.blogspot.com, secara terang-terangan dia menyebut tentang 'seseorang' yang ditafsir istimewa dalam hidupnya.
Barangkali, itu tandanya Haziq sudah ada komitmen bersama teman wanita yang selayaknya digelar kekasih pujaan hati.
Bermacam-macam lagi coretan Haziq tentang aktiviti yang dilakukan bersama si dia, termasuk menonton wayang dan keluar bersama-sama. Alahai, tidak ubah ibarat pasangan berkasih.
Reaksi anak muda yang baru menginjak usia 21 tahun pada 7 Januari lalu apabila ditemu bual Kosmo! baru-baru ini, sekadar tertawa besar apabila diajukan pertanyaan nakal itu.
"Percayalah, saya tidak bercinta dengan sesiapa buat masa ini. Boleh dikatakan kami dalam proses mengenali hati budi masing-masing, namun ia tidak bermakna kami bercinta.
"Saya anggap dia sebagai kawan sahaja, tidak lebih daripada hubungan persahabatan semata-mata," ungkap Haziq enggan berselindung.
Terus menyambung bicara, Haziq memberitahu, waktu itu dia sedang gian menulis blog, lantas dia tidak menyangka perkara itu dipandang serius oleh sesetengah pihak yang berprasangka negatif.
"Semasa tengah suka tulis blog, saya memang suka menulis macam-macam perkara. Lebih-lebih lagi saya tidak tahu ada orang lain yang akan membacanya kerana saya beranggapan ia milik peribadi.
"Saya tidak tahulah pula orang lain akan timbulkan pelbagai spekulasi tentang coretan saya dalam blog ini," akui Haziq sedikit kesal.
Bekas pelajar Akademi Fantasia 4 (AF4) itu mengaku dia belum bersedia untuk mempunyai teman wanita istimewa dalam waktu terdekat ini.
"Saya masih muda, sedang melanjutkan pengajian dan memerlukan banyak masa lagi bagi menyiapkan diri menjadi penyanyi yang berjaya.
"Belum lagi terfikir ke arah ini (bercinta). Biar saya teruskan cita-cita yang diidamkan dalam lapangan seni terlebih dahulu sebelum berbicara perihal remeh-temeh seperti cinta.
"Janganlah risau. Andai suatu hari nanti saya bercinta, saya tidak akan sesekali menyorokkan perkara yang baik kepada peminat.
"Saya tidak kisah untuk berkongsi tentang kisah cinta saya dengan masyarakat.
"Cuma sekarang saya lebih gemar cakap tentang karier serta pelajaran berbanding perihal cinta," akui Haziq yang suaranya jelas kedengaran agak kurang selesa, tatkala persoalan cinta menjadi topik perbualan.
Ingin tampil sihat
Bagai menjadi trend pada masa kini apabila ada sesetengah anak muda, yang sanggup menghabiskan waktu berjam-jam berada dalam gimnasium bagi 'mencantikkan' badan mereka.
Haziq juga tidak terkecuali apabila bercakap dalam soal itu. Dia sanggup menghabiskan masa yang panjang demi inginkan badan yang kelihatan menawan.

Lihat sahajalah bentuk badan Haziq kini yang semakin kurus berbanding kemunculan awalnya dalam AF4 sejak dua tahun lalu.
"Saya pergi ke gimnasium sebenarnya bukan kerana teringin badan yang berketul-ketul, sebaliknya saya ingin badan yang kelihatan seimbang dan sihat.
"Selain itu, saya juga mahukan tubuh badan sentiasa terkawal termasuk menerusi penjagaan pemakanan.
"Ada perubahan juga setelah saya selalu pergi ke gimnasium. Sebelum ini, berat badan saya dalam lingkungan 70 kilogram, sekarang sudah berkurangan jadi 65 kilogram," katanya yang sering mengunjungi gimnasium yang terletak di Bangsar.
Teruja dengan Zapin Suri
Tiada yang lebih membahagiakan Haziq apabila penantian selama dua tahun untuk punya album sendiri akhirnya termakbul dengan kemunculan album perdana dengan genre muzik pop tradisional, Zapin Suri.
Luah Haziq, dia cukup bersyukur kerana akhirnya impian untuk memiliki album tercapai jua walaupun menghampiri waktu dua tahun menanti dengan penuh kesabaran.
"Bersyukur dan gembira sangat kerana Zapin Suri menjadi album yang memang saya tunggu-tunggu selama ini.
"Puas hati perasaan saya. Sekurang-kurangnya selepas ini kalau saya ingin menjayakan undangan nyanyian, saya sudah boleh nyanyikan lagu sendiri yang peminat biasa terdengar.
"Walaupun lambat muncul, tetapi saya tetap okey kerana saya begitu mementingkan kualitinya sebelum keluar menemui para peminat.
"Kalau buat cepat-cepat, bimbang pula hasilnya nanti jadi kurang memuaskan. Lebih baik saya tunggu sekejap," ujar Haziq.

Mula memasuki studio sejak tahun 2007, proses pembikinan Zapin Suri kata Haziq, tidak berjalan dengan begitu pantas, sepantas seperti penghasilan album penyanyi lain.
"Album saya ini dihasilkan dengan perlahan-lahan. Rakam lagu pertama, kemudian dua atau tiga bulan akan datang barulah saya akan memasuki studio semula bagi merakam lagu-lagu seterusnya.
"Setelah album ini berjaya disempurnakan, saya cukup gembira dengan keseluruhan lagu-lagu yang ada di dalam album Zapin Suri.
"Ada kelainan yang dapat saya perhatikan. Tidak semua lagu-lagu dalam album ini berunsurkan tradisional sahaja.
"Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini akan kedengaran macam irama Pop Melayu pada tahun 70-an dan 80-an, malah lagu dengan rentak balada juga ditampilkan ala-ala lagu pada tahun yang sama.
"Proses pembikinan album ini dijalankan dengan penuh teliti, memuatkan pelbagai irama tradisional yang mampu mencuri perhatian seperti joget, zapin dan gurindam, lantas menyerlahkan kepelbagaian penyampaian saya.
"Memang album ini lain daripada yang lain ditambah dengan ingin meluaskan sasaran peminat saya," jawab Haziq dalam lontaran suara lembut.
Percubaan berani Haziq yang menongkah arus wajar diberi sokongan kerana usahanya memelihara irama tradisional kebanggaan negara daripada lenyap ditelan arus zaman, tidak pernah goyah.
Pesona suaranya yang lunak tidak dinafikan berupaya membangkitkan nostalgia apatah lagi dengan sentuhan daripada nama-nama tersohor dalam lapangan seni seperti Pak Ngah, Sham Kamikaze, S. Atan dan Arab demi memberi kekuatan kepada Zapin Suri.
Haziq bagaimanapun tidak melupakan terus peminat generasi muda yang kemungkinan mendambakan sesuatu yang berbeza daripadanya.
Haziq turut menghadiahkan mereka dengan lagu balada, Lara sentuhan Iryanda Mulia dan Akhirnya karya Sham Kamikaze.
Antara produksi terbaik pernah diterbitkan di bawah label Maestro Records, Zapin Suri yang berada di pasaran sejak beberapa minggu lalu juga menghadiahkan peminat himpunan foto menarik Haziq yang mengimbau nostalgia lama.
setiap lagu2 dlm album tu ade kenangan yg tersendiri utk sy..thanx jiq...sbb sebelum lagu2 tu keluar jd album, ajiq dh kasi sy dgr dulu..dan ternyata lagu2 tu sume lagu2 yg bgs dan b'kualiti...
ReplyDelete