![]() |
Keputusan berpisah untuk memudahkan masing-masing memberikan tumpuan kerjaya seni yang semakin berkembang
KEPUTUSAN terbaik harus dibuat demi sebuah masa depan yang lebih cerah, lantas pengorbanan nekad diambil biarpun mungkin perit untuk dilakukan. Itu gambaran situasi yang dialami Marsha Milan Londoh ketika di Teluk Dalam Resort, Pulau Pangkor, Perak mengenai kesudahan hubungan baiknya dengan Mohamed Zulkefli Mohd Idir atau Kefli.
Biar apa juga andaian orang terhadap status hubungan mereka, jawapan yang sering diberikan cukup membosankan, hanyalah sekadar teman tapi mesra. Hubungan yang hampir mencecah usia empat tahun ini akhirnya berkesudahan dengan baik sejak awal Februari lalu. Mungkin agak mengejutkan kepada kita mengenai berita perpisahan ini, bagaimanapun bagi empunya badan, sebelum ini lumrah seperti pasangan lain, hubungan mereka ada pasang surutnya.
Pemergian gadis berusia 24 tahun ini ke Pulau Pangkor mungkin boleh ditafsirkan seperti membawa diri dan cuba melupakan apa yang terjadi antaranya dengan jejaka berumur 25 tahun itu. Paling jelas, pelakon dan penyanyi berdarah Kadazan-Dusun ini sedang menjalani penggambaran filem Senario The Movie Episod 2: Beach Boys arahan Ahmad Idham.
Ketika waktu terluang, Marsha tidak keberatan untuk menerima permintaan Hip bagi sesi bergambar dan temu bual lebih lanjut mengenai hubungannya dengan Kefli.
Bagi tujuan ini, dia bergaya dengan pareo dan topi sedondon dari rona merah menyala. Di tepi pantai, Marsha menggayakan pelbagai aksi di depan jurugambar. Liuk badannya yang menggiurkan bersama bibir yang menawan menjadikan gayanya dilihat agak seksi.
![]() |
| CANTIK persis model, Marsha kini sedang gigih berusaha untuk bergelar usahawan. |
Sesekali, gadis yang dilahirkan di Amerika Syarikat ini berkata: “Bolehlah gambar ini dijadikan sebagai kulit depan album”.
Selesai sesi fotografi di sebelah petang, Marsha masuk ke set penggambaran filem Senario The Movie Episode 2: Beach Boys di sebelah malam. Dalam filem ini, dia memegang peranan gadis bernama Zuraidah, tetapi berperwatakan lelaki.
Ketika berehat, barulah Marsha menceritakan lebih lanjut hubungannya dengan Kefli. Katanya, dia terkejut apabila melihat Kefli hadir memeriahkan Karnival Amal ABPBH Untuk Gaza pada hujung Januari lalu.
“Sudah jodoh kami untuk tidak bersama lagi saat ini. Saya masih sayangkan perhubungan ini, cuma saya berasakan masing-masing memerlukan ruang untuk diri sendiri. Kami berpisah secara baik dan banyak perkara yang menjurus kepada terjadinya hal ini. Nak cakap pun susah. Saya sendiri yang meminta untuk tidak meneruskan jalinan hubungan ini,” katanya.
![]() |
Sambungnya lagi, keputusan yang sukar perlu dibuat kerana tidak mahu halangan dan masalah yang dihadapi sepanjang perhubungan itu akan menghalang masa depan kerjaya masing-masing.
“Saya tak mahu hubungan kami ini menjadi penghalang kepada kerjaya kami. Saya masih muda dan banyak lagi yang perlu digapai. Daripada membazir masa memikirkan hubungan kami, lebih baik saya tumpukan pada prestasi kerja.
“Saya sudah nampak peluang di depan mata dan saya perlu bekerja keras untuk menghampiri kejayaan yang diidami. Sekarang,” kata Marsha yang mengakui sering terbayang kenangan manisnya bersama Kefli jika duduk bersendirian.
Menurut Marsha , dia sendiri tidak pasti apakah ‘perpisahan’ ini akan kekal selama-lamanya.
“Tapi siapa tahu, kami akan bersahabat kembali seperti dulu. Ada jodoh, pasti tidak ke mana. Banyak suka dan duka yang kami harungi bersama. Apa yang saya senangi ialah sikap dia (Kefli) yang cukup memahami.
“Dia sentiasa berada di depan mata, pada saat saya memerlukan teman kala susah dan senang. Dia seorang pendengar yang setia. Saya bertuah dikurniakan kawan rapat sepertinya,” ungkap Marsha memuji Kefli.
Mengharap ada sinar baru
----------------------------
SELAIN dugaan peribadi ini, Marsha tidak terlepas dibangkitkan mengenai album sulungnya yang sepatutnya sudah diterbitkan. Tiga tahun berada dalam persada seni, dia dilihat seperti hampir berputus asa untuk berbicara mengenai kerjaya nyanyiannya.
Namun selepas puas menunggu, khabar gembira menamatkan penantiannya. Album yang pada awalnya dirancang dengan lapan hingga 10 lagu akhirnya menjadi lima lagu saja.
Kata Marsha, kerjasama antara Maestro dengan Wake The Baby milik komposer Ajai terpaksa dibatalkan. Bagaimanapun, Ajai masih menyumbangkan dua lagu untuk album ini. Hazami, Hadi Hassan dan Sharon Paul juga turut menyumbangkan lagu. Enggan mengulas lanjut mengenai kedudukan kontraknya bersama Maestro, dalam nada bersemangat, dia berharap ada sinar baru dalam dunia nyanyiannya.
“Ikut perancangan album ini siap sekitar bulan ini, tarikh edaran saya belum pasti lagi. Kita tunggu dan lihat saja. Tawaran untuk filem Senario The Movie Episode 2: Beach Boys pun diuruskan Maestro. Apa yang saya dengar, pengarahnya, abang Idham yang mencadangkan nama saya untuk dipanggil berlakon di dalam filem ini.
“Biarpun sudah berlakon dua filem (Misi 15:11 dan Saus Kacang), saya rasa filem ini yang paling besar kesannya. Kalau dulu saya diberikan watak jemputan dan sampingan, kini peranan saya lebih luas.
“Filem Saus Kacang arahan Indrayanto Kurniawan sudah ditayangkan di Indonesia dan jangkanya untuk pasaran Malaysia Mac ini,” katanya yang semakin popular dengan lagu duet Sayang bersama Ajai bagi album runut bunyi Sayang You Can Dance.
Selepas ini, Marsha juga akan melebarkan sayapnya ke satu lagi cabang kerja. Dia bakal mengikuti jejak selebriti luar negara seperti Victoria Beckham, Jlo dan Paris Hilton yang mempunyai jenama produk mereka sendiri. Ingin mencari jaminan dalam kehidupan, Marsha kini sedang hebat merangka langkah untuk bergelar usahawan di bawah syarikat Marsha Londoh Entertainment yang ditubuh sejak pertengahan 2008.
“Saya sudah menamakan label seluar denim itu sebagai Marsha by Marsha Londoh. Ketika ini kami sudah menjual beberapa helai seluar itu melalui internet. Seluar itu dijual harga di bawah RM100 dan sesuai untuk golongan wanita dengan pelbagai bentuk potongan.
“Di Malaysia belum ada selebriti yang membabitkan diri dalam perniagaan seluar denim di bawah label sendiri. Saya mula terfikir untuk mengorak langkah dan idea ke arah itu,” katanya.
Dalam pada itu, Hip menghubungi Kefli yang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama 13 episod berjudul Comel arahan Aziz M Osman. Biarpun pada mulanya agak keberatan untuk memberikan komen, namun apa yang dapat disimpulkan jejaka ini ialah hanya mampu berserah.
“Kalau perkara ini baik untuk dia, maka baiklah untuk saya. Kalau ada jodoh pastinya tak ke mana dan semuanya pasti tertulis. Biarlah kami fokus apa yang kami ingin capai dalam hidup ini,” katanya ringkas.
PROFIL: Marsha



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: