Thursday, March 5, 2009

Soseh Soseh: Tidak berduit tapi mahu terbit filem


KALAU tidak ada duit, janganlah berangan mahu jadi produser sebab bukan mudah menghasilkan filem. Banyak ranjau dan cabaran yang perlu diharungi.

Agaknya apabila dengar kutipan filem Melayu mencecah juta-juta ringgit, mulalah mereka yang rasa ada duit banyak hendak cuba masuk industri ini. Tambahan pula kerajaan turut memberi galakan melalui kemudahan pinjaman bank.

Hakikatnya, mereka tidak tahu sepak terajang dunia filem lebih hebat berbanding bisnes lainnya. Tapi tidak tahulah SS, mungkin ada pihak melihat industri seni ini sebagai medan glamor, maklumlah berhadapan dengan bintang popular. Jadi, ramailah yang berminat melabur wang untuk menghasilkan filem.

SS ingin sentuh satu produksi baru yang berkobar-kobar menghasilkan filem. Kalau tidak silap SS, majlis pelancaran filem sulung itu sudah diadakan tahun lalu untuk menguarwar-warkan kepada media projek mereka siap maklumkan mahu ambil pelakon top itu pelakon top ini sebagai bintang utama.

Difahamkan, pelakon yang mereka sebut-sebut itu tidak ada dalam senarai pelakon filemnya. Malah sempat mencetuskan kontroversi. Tidak tahulah SS mengapa mereka tidak dapat melamar pelakon yang diingini. Agaknya, pelakon kita sibuk atau mereka meminta bayaran tinggi hingga tidak mampu dipenuhi.

Dengar cerita, produser meluahkan rasa tidak puas hati kerana tidak ramai wakil media yang hadir ketika pelancaran filemnya. Malah cerita yang dipaparkan wartawan yang hadir juga tidak menepati kehendak produser kerana wartawan lebih menumpukan kisah kontroversi pelakonnya.

Terbaru, SS dengar belum pun penggambaran bermula, sudah ada masalah. Sepatutnya penggambaran bermula awal bulan ini tapi ditangguhkan. Sebabnya, pengarah belum terima bayaran.

SS tidak tahu pula dengan pelakonnya apakah sudah dapat bayaran atau belum. Kalau belum dapat duit, bukan saja pengarahnya tidak mahu memulakan penggambaran tapi pelakon juga tidak muncul di lokasi, macam mana hendak mulakan?

Difahamkan, produsernya ada masalah duit. Kalau tidak ada duit, mengapa berangan-angan buat filem? SS difahamkan lagi, produser itu sebenarnya menantikan wang daripada projek lalu yang dikatakan belum dapat sejak dua tahun lalu.

Itulah, jangan ingat mudah menerbitkan filem. Baru mula perancangan, sudah timbul macam-macam masalah. Itu belum lagi penggambaran bermula, perlu berhadapan masalah disiplin pelakon, masalah lokasi, bajet dan macam-macam lagi. Lepas itu bila selesai penggambaran, perlu melalui proses suntingan.



Apabila filem siap, masalah mendapatkan tarikh tayangan yang diinginkan. Apabila sudah dapat tarikh, masalah promosi pula. Itu semua memerlukan perbelanjaan untuk membayar kos promosi di televisyen, media cetak dan macam-macam lagi.

Kalau tidak benar-benar bersedia, jangan berangan mahu menjadi produser. SS takut nanti bila filem sudah siap, terperap dalam stor. Itu belum lagi diserahkan kepada pengarah baru, hasilnya kurang memuaskan dan perlu menjalani penggambaran semula. Semua itu memerlukan kos.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: