| BERITA perpisahan pelakon drama Puteri, Nora Danish dengan bekas suami, Rizal Ashram Ramli atau Jejai pertengahan tahun lalu mengundang simpati banyak pihak khususnya peminat hiburan tanah air kerana talak yang dilafazkan kepada Nora pada saat dia berbadan dua. |
SS yang membaca laporan kes penceraian itu pun turut menangis kerana tidak menyangka wanita sebaik dan secantik Nora terpaksa menempuh dugaan hidup cukup memilukan itu.
Masakan tidak, jika pasangan suami isteri begitu teruja membuat persediaan menantikan kehadiran cahaya mata pertama, Nora mengharungi detik penuh emosi itu sendirian.
Kalau wanita lain mengidam boleh minta suami carikan atau lenguh-lenguh badan suami tolong urutkan. Bayangkan bagaimana sukarnya situasi Nora sepanjang proses kehamilannya tanpa suami di sisi dan tempat untuk mengadu.
Mujurlah, ibu Nora serta teman rapatnya sentiasa mengambil berat. Sebenarnya, coretan SS ini bukan untuk mengungkit kegagalan rumah tangga Nora yang berpunca daripada orang ketiga.
Sebaliknya, SS terfikir bilakah agaknya teman media, peminat dan SS sendiri dapat melihat wajah putera tunggalnya, Putra Rayqal yang dilahirkan pada 7 Januari lalu?
Agak-agak Rayqal ikut wajah mamanya atau papanya? Menurut orang tua-tua, selalunya kalau anak lelaki akan ikut wajah ibu dan anak perempuan pula bapa. Kalau Rayqal ikut wajah Nora, SS tidak dapat bayangkan betapa comelnya dia.
Mengikut perkiraan SS, Nora sekarang sudah tamat tempoh berpantang, jadi tidak salah kalau Nora memperkenalkan bayinya kepada umum.
Kebetulan, rakan SS sudah berkali-kali menghubungi serta mengirimkan SMS untuk mengatur sesi fotografi Nora bersama anaknya. Namun, tiada sebarang jawapan diberikan sampaikan kawan SS kecewa sangat.
SS harap Nora sudah bersedia memperkenalkan buah hatinya itu kerana peminat sangat rindukan Nora dan teringin melihat wajah Raykal. SS pun sudah tidak sabar melihat Nora dan bayinya bergaya di lensa kamera.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: