| NAIK jelak SS dengar mengenai perihal selebriti yang mengubah penampilan rupa serta bentuk tubuh badan asal mereka. Ada yang memakai botox atau menyuntik vitamin C hanya kerana mahu kelihatan cantik. Ada yang mengaku dan ada juga menafikan perubahan wajahnya kerana suntikan sebaliknya memberi pelbagai alasan seperti teknik mekap. |
Tidak dinafikan setiap individu mahu kelihatan cantik sama ada dari segi penampilan atau susuk badan. Baru-baru ini teman rapat seorang selebriti memaklumkan kepada SS mengenai tabiat rakannya yang kerap menggunakan suntikan semata-mata untuk kelihatan cantik.
Tidak cukup mahu cantik di muka, selebriti lelaki itu menyuntik pula tubuh badannya. SS rasa selebriti itu taksub mahu mengubah bentuk asal yang dikurniakan Tuhan kepada dirinya.
Agaknya setiap kali melihat wajahnya di cermin, hatinya terdetik perasaan malu hingga mahu mengubah apa yang diberikan. Konon untuk memberi keyakinan kepada dirinya apabila berhadapan orang ramai berbanding rupa asal membuatkan dirinya rendah diri untuk duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan orang lain.
Pada SS, setiap yang dikurniakan Maha Pencipta itu sudah ada keistimewaannya. Kalau tidak cantik rupa paras, baik budi bahasa dan mampu membuatkan orang suka dan sayang.
Kalau kulit gelap, kata orang hitam manis, kalau tidak cukup tinggi, kata orang comel. Mesti ada kelebihannya. Hanya mereka yang tak tahu bersyukur tidak menyedari kelebihan pada dirinya hingga mahu mengubah apa yang ada.
Malah selebriti lelaki itu tidak malu mengakui kepada umum mengenai penggunaan botox untuk mengubah paras rupanya menjadi wajah impian seperti bintang idolanya. Tapi SS dengar, selebriti itu mengalami kesan negatif akibat suntikan itu.
Tapi nampaknya masih tidak serik dengan pengalaman lalu hingga mengulanginya. Kali ini suntik pada tubuh pula biar nampak macho macam bintang Hollywood atau Bollywood.
Persoalannya, apakah dengan perubahan itu menambahkan populariti artis itu dalam dunia seni? SS rasa tidak juga. Sejak dulu hingga kini ruang untuknya menonjolkan bakat tidak begitu menyerlah. Malah selebriti itu dapat kutukan orang pula gara-gara keberaniannya berbuat begitu.
Jadi, apa untungnya buat begitu? Nak kata tambah cantik, ramai yang kata wajah selebriti itu menakutkan. Nak kata makin popular, tidak juga. Apa yang pasti, berhabis wang ringgit sebab bukan murah buat suntikan itu. SS difahamkan, kalau mahu kualiti bagus, harganya mahal.
| |
Pada selebriti itu, janganlah bangga hendak mengupah penampilan untuk kelihatan cantik di mata masyarakat. Silap haribulan, hendak cantik tapi sebaliknya. Untuk apa jika cantik paras rupa tapi keperibadian atau dalaman sebaliknya. Selok-eloknya sebagai manusia, pelihara kecantikan dalam dan luaran dengan seimbang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: