| REZEKI dalam bidang hiburan tidak terhad pada satu bidang semata-mata. SS lihat senario penyanyi dan pelakon yang bertukar profesion sudah jadi perkara biasa. Apabila SS tanya, kebanyakan artis ini berkata mereka mahu mencuba sesuatu yang baru dan mengembangkan bakat seni dalam diri. |
SS fikir ia bukan kesalahan bagi artis yang mahu mencuba nasib jika bekerja keras untuk mencari rezeki halal. Seperti seorang pelakon wanita ini yang makin meningkat populariti, dia tidak kisah dengan status sebagai pelakon untuk mencari pendapatan sampingan.
Berbeza dengan orang bekerja makan gaji, pelakon ini terpaksa mencari pekerjaan lain yang dapat menampung kehidupannya. Daripada sumber yang SS dengar, pelakon ini bekerja sebagai pembantu jualan di satu pusat kecantikan terkenal.
Kata sumber SS itu lagi, pelakon ini sanggup bekerja di sana kerana kurang mendapat tawaran berlakon sejak kebelakangan ini. SS terfikir mungkin kerana kegawatan ekonomi yang kini melanda seluruh dunia turut memberi kesan kepada kehidupan artis berkenaan.
Bagi artis popular, rasanya masalah ini tidak terlalu memberi kesan kerana banyak tawaran diterima. Sebaliknya, artis yang baru mencipta nama terpaksa berhadapan dengan banyak rintangan dan perlu pandai rebut peluang yang ada di pasaran.
Apapun, SS tetap beri sokongan kepada pelakon ini termasuk mana-mana artis yang berusaha mencari rezeki walaupun pada pandangan masyarakat, pekerjaan yang mereka lakukan bukanlah setaraf. Apa yang penting, rezeki yang dicari perlu halal dan tidak salah di sisi undang-undang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: