![]() |
| |
PELAKON Farid Kamil dan Lisa Surihani merupakan pasangan pelakon yang kini semakin serasi sama ada di dalam mahupun luar lokasi penggambaran drama atau filem tempatan. I’m Not Single arahan Pierre Andre yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara tahun lalu merupakan filem pertama yang menemukan pasangan tersebut.
Selepas kolaborasi pertama menerusi filem itu, Lisa dan Farid dikatakan intim di luar set penggambaran hingga timbul gosip mengatakan mereka kini sedang hangat bercinta.
Terbaru, pasangan pelakon remaja ini bukan setakat bergandingan di layar perak, malah Astro turut mempertemukan keduanya sebagai pelakon eksklusif di saluran televisyen (TV) itu.
Menerusi gandingan itu, Farid dan Lisa kini merupakan pelakon terbaru yang ditonjolkan sebagai pelakon Wajah Eksklusif Astro Megadrama selepas Erra Fazira dan Aaron Aziz.
Justeru, hubungan intim mereka sama ada di luar dan dalam set penggambaran seakan-akan ada signifikannya sehingga mereka sekali lagi dipertemukan, tetapi kali ini melalui Astro.
Persoalan yang masih menjadi tanda tanya para wartawan dan juga peminat dua pelakon popular itu ialah, sama ada mereka benar-benar bercinta ataupun ia sekadar suatu kebetulan?
Tidak rimas gosip
SEBAGAI pelakon remaja yang sedang meniti populariti, Lisa Surihani tidak menafikan bahawa dia sentiasa terdedah kepada pelbagai gosip yang mengaitkan hubungannya dengan artis lelaki.
Farid Kamil merupakan pelakon yang dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengannya selepas banyak pihak yang melihat mereka hadir bersama dalam beberapa majlis sebelum ini.
Ketika diajukan pertanyaan sama ada dia berasa rimas dengan gosip itu, pelakon dan model berusia 23 tahun ini berkata, ia sedikit pun tidak meninggalkan kesan negatif terhadap dirinya.
“Lisa sedar spekulasi itu timbul sejak kebelakangan ini. Saya tidak rasa apa-apa pun kalau gosip itu tidak betul. Buat apa saya hendak rasa bengang dan sebagainya.
“Malah, saya tidak berasa rimas pun. Gosip itu mula timbul selepas kami berlakon dalam filem I’m Not Single,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Wajah Eksklusif Astro Megadrama baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur (KL) itu mengumumkan mereka sebagai pelakon eksklusif baru di saluran-saluran TV Astro mulai bulan ini.
Lisa dan Farid merupakan pasangan pelakon terbaru yang diambil sebagai pelakon eksklusif di Astro selepas mengikut jejak langkah pelakon Erra Fazira dan Aaron Aziz pada Jun tahun lalu.
Jelas pelakon jelita ini, gosip itu timbul sewaktu dia dan Farid keluar bersama-sama dan hadir pada suatu majlis sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu di sebuah hotel terkenal di KL.
“Kami rasa gosip itu timbul bukannya semasa kami berlakon dalam I’m Not Single tetapi selepas kami hadir bersama pada suatu majlis sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama dulu.
“Memang kami kebetulan mahu keluar bersama-sama ke majlis itu atas undangan sebagai artis residen MIG Talents yang menguruskan aktiviti seni kami,” ujarnya.
Lisa bukan sahaja tidak mengambil serius gosip itu malah menafikan adanya signifikan hubungannya dengan Farid, sebaliknya dia optimis terhadap kerjayanya dalam bidang lakonan.
Tidak hairanlah pelakon dengan ketinggian 5 kaki 3 inci ini tidak menoleh ke belakang dan menerima tawaran Astro yang melantiknya sebagai pelakon eksklusif selama setahun mulai bulan ini.
“Saya terima tawaran ini kerana sebagai pelakon baru yang ada potensi, ia memberi peluang kepada saya untuk mengasah bakat dalam bidang lakonan pada masa depan.
“Ini merupakan satu peluang keemasan dan proses pembelajaran bagi saya di mana saya akan mengambil peluang itu dengan sebaik mungkin. Ia juga suatu pengiktirafan,” katanya.
Tambah Lisa, menerusi pelantikan itu, dia akan diberi peluang berlakon drama-drama terbitan Astro yang akan ditayangkan di saluran-saluran Ria, Prima, Ceria dan Oasis.
Malah, Lisa juga tidak berasa rugi biarpun selama tempoh kontrak itu berjalan, drama-drama atau filem-filem lakonannya hanya akan muncul di empat saluran Astro tersebut sahaja.
Bagi permulaan sebagai pelakon eksklusif di Astro, Lisa akan muncul di saluran Ria (saluran 104, Astro) pada 13 Mac ini pukul 10.30 malam menerusi telemovie berjudul Ponti Anak Remaja.
Sementara itu, pada 4 April ini pukul 10.30 malam pula, para penonton saluran Prima (saluran 105, Astro) akan berpeluang menyaksikan lakonan Lisa menerusi telemovie Mataku Nampak Hantu.
Difahamkan, Lisa dan Farid juga mungkin akan bergandingan dalam drama atau telemovie terbitan Astro selepas ini, misalnya menerusi naskhah berjudul Lulu.
Rapat selepas berlakon filem
SEWAKTU dilontarkan soalan sejauh manakah adanya signifikan antara Farid dan Lisa sebagai pelakon eksklusif di Astro, pelakon kacak ini seakan-akan tidak kisah dengan gosip tersebut.
Sebaliknya, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini menganggapnya sebagai suatu kebetulan seperti mana pelantikan sama yang turut membabitkan Erra Fazira dan Aaron Aziz pada tahun lalu.
“Saya tidak pasti di mana signifikannya pelantikan saya dan Lisa sebagai pelakon eksklusif di saluran-saluran Astro. Saya tidak kisah pun dengan gosip yang sedang melanda kami itu.
“Sebabnya, pengambilan pelakon eksklusif Astro yang sebelum ini pun berdua juga iaitu Erra dan Aaron. Memang ini yang diinginkan oleh Astro. Bagi saya tiada masalah dalam isu ini,” ujarnya.
Selain Lisa, aktor berusia 27 tahun ini juga mempunyai pandangannya yang tersendiri apabila gosip cintanya itu semakin hangat diperkatakan dalam persada hiburan tanah air akhir-akhir ini.
Pada masa sama, Farid berasa sedikit hairan kerana gosip percintaannya dengan Lisa hanya timbul selepas filem I’m Not Single yang mereka lakonkan tamat ditayangkan di pawagam.
“Saya tidak tahu daripada mana datangnya gosip itu. Mungkin saya agak rapat dengan keluarga Lisa menyebabkan orang mengaitkan saya dengannya. Kebetulan saya kenal Lisa sejak dua tahun lalu.
“Malah, ketika bapa Lisa meninggal dunia pada tahun lalu saya datang melawat keluarganya menyebabkan ia juga dijadikan spekulasi mengiyakan lagi hubungan kami itu,” katanya.
Pelakon, pengarah dan penulis skrip itu tidak menjadikan gosip itu sebagai halangan bagi dirinya untuk terus berkolaborasi bersama Lisa dalam drama-drama terbitan Astro kelak.
Tambah Farid, selain Lisa dia juga berharap dengan pelantikannya sebagai pelakon eksklusif di Astro ia akan membuka peluang kepadanya untuk berlakon bersama Erra Fazira dalam drama.
“Saya memang teringin mahu berlakon dengan Erra dalam drama. Ini kerana, sebelum ini kami hanya pernah berlakon dalam filem sahaja, contohnya dalam filem 7 Perhentian. Semoga dengan adanya peluang saya berlakon bersama pelakon seperti Erra dan Lisa ia akan menambahkan lagi jumlah rating penonton di saluran-saluran TV Astro nanti,” pintanya lagi.
Peluang pelakon kembang bakat
DALAM pada sibuk memperkatakan hubungan cinta Farid Kamil dan Lisa Surihani serta signifikannya pelantikan mereka sebagai pelakon eksklusif, Astro mempunyai alasan tersendiri.
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, pelantikan pasangan terbaru itu dalam keluarga Wajah Eksklusif Astro Megadrama itu hanyalah sebagai kebetulan.
Katanya, Astro tidak mempunyai motif untuk mengeksploitasi gosip yang melanda pasangan itu, sebaliknya ia merupakan suatu peluang keemasan dalam bidang lakonan.
“Sebenarnya, kami mahu memberi peluang kepada kepada bakat-bakat muda seperti Farid dan Lisa memperkembangkan lagi bakat mereka menerusi saluran-saluran Astro.
“Contohnya, selain berlakon Farid juga akan diberi peluang untuk menulis skrip atau mengarahkan drama sepanjang kontraknya selama setahun bersama Astro bermula Februari ini.
“Kami dapati pendekatan ini mampu memberi nilai tontonan yang eksklusif kepada para peminat Farid dan Lisa selain bertujuan menambahkan lagi jumlah rating penonton di Astro,” jelasnya.
Tambah Nizam, pendekatan Astro dapat dilihat keberkesanannya apabila drama lakonan Erra Fazira berjudul Mertua vs Menantu berjaya menarik ramai penonton. Difahamkan drama bersiri pertama lakonan itu mencatat jumlah penonton paling ramai dalam setiap episod yang disiarkan berbanding drama-drama lain.
Selain memperkenalkan Lisa dan Farid, pada majlis itu, Astro Prima turut mengadakan sedutan tayangan drama bersiri Suara Hati dan Rahsia Hati yang akan ditayangkan Mac dan April ini.
Hadir sama ialah para pelakon dua drama bersiri itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: