Sunday, March 1, 2009

Satu matlamat





Enggan berbicara lanjut soal cinta tetapi sama-sama simpan impian untuk berjaya dalam dunia lakonan

SUATU ketika dulu, pernah terdetik siapa Remy Ishak apabila tiba-tiba saja muncul dalam filem Anak Halal. Namun, hari ini suatu perubahan berlaku dalam hidupnya.

Daripada seorang budak kampung yang mengambil upah membuat rumah, pernah bergelar despatch, kemudian mengubah nasibnya sebagai pekerja hotel dan kini dia seorang pelakon yang sedang meniti populariti. Bahkan dia dilabel hero pelapis untuk filem dan drama!

Siapa tahu, sedikit masa lagi Remy berpeluang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan hero hebat masa kini seperti Rosyam Nor, Rusdi Ramli, Farid Kamil mahupun Fahrin Ahmad.



“Memang sejak kecil lagi, saya ada simpan matlamat nak jadi pelakon. Idola saya ketika itu ialah Eman Manan dan Rosyam Nor. Saya juga pernah melalui detik sukar sebelum mencapai impian hari ini. Saya akhirnya bertemu dengan Osman Ali.

“Dia yang membawa saya mengenali dunia lakonan. Selepas percubaan menerusi Anak Halal, alhamdulillah karier lakonan saya terus berkembang.

“Cita-cita menjadi pelakon sudah tercapai. Tapi masih banyak yang harus diperbaiki untuk benar-benar layak digelar pelakon. Saya berasakan masih awal sangat hendak dianggap sebagai hero masa depan,” katanya.

Namun begitu, kata anak muda bertubuh sasa ini, dia mahu menjadikan gelaran hero pelapis sebagai satu tanggungjawab besar untuk dirinya dengan membuktikan tanggapan itu bukan sia-sia.

Baginya, ketika ini apa yang penting ialah bersyukur kerana pembabitannya dalam dunia lakonan seolah-olah mendapat ‘restu’ daripada wartawan.

“Syukur, kehadiran saya juga seolah-olah diberi ‘restu’ pihak wartawan, peranan mereka meninggalkan impak begitu besar,” kata Remy.

Lumrah bergelar orang dikenali, Remy pasti tidak dapat lari daripada soal cinta dan gosip.

Gerak-gerinya juga mula menjadi perhatian. Keakraban Remy dengan dengan bintang baru seangkatannya, Ummi Nazeera menjadi bualan hangat. Detik perkenalan mereka bermula apabila kedua-duanya membintangi drama popular, Awan Dania di Astro Ria.

“Saya tidak dapat lari apabila dihambat dengan pelbagai andaian dan pertanyaan. Saya pergi makan dengan Ummi, itu pun sudah jadi buah mulut orang. Saya tak nafikan, memang berkawan rapat dengan Ummi. Namun, usia perkenalan kami masih baru.

“Tapi saya tidak menolak kemungkinan, persahabatan kami akan jadi lebih serius suatu hari nanti.

“Buat masa ini saya tidak sedia nak lafazkan ayat-ayat cinta. Lagipun usia Ummi masih muda. Kerjaya lakonan pun baru nak bermula. Berilah peluang kepada kami membuktikan kejayaan masing-masing,” kata Remy berterus-terang.

Istimewanya Ummi di mata Remy: “Dia pandai ambil hati, ambil berat dan senang bergaul, tak sombong.”

Ummi hadir daripada sebuah keluarga berada, anak gadis VIP berstatus Datuk. Tidakkah Remy khuatir cinta terhalang kerana wujudnya antara dua darjat?

“Kami tak bercinta. Jadi tak pernah terfikir soal itu. Persahabatan kami disenangi semua pihak. Itu yang penting. Saya terima Ummi sebagai kawan seadanya tanpa memikirkan soal status atau darjat keluarga yang berbeza. Berkawan dengan Ummi sama seperti saya berkawan dengan orang lain, cuma Ummi agak istimewa...,” kata Remy tanpa berselindung.

Bukan sayang tapi kasih

Sementara itu, Remy sebenarnya tidak bertepuk sebelah tangan apabila Ummi turut melafazkan perasaan yang hampir sama dengan Remy apabila mengakui keakraban yang terjalin selepas membintangi Awan Dania, kini mereka sedang mengenali isi hati masing-masing, sekali gus tidak mahu berselindung, dia dan Remy berkawan rapat dalam usia perkenalan yang kini menjangkau kira-kira tiga bulan.

“Apabila berkawan, Remy jujur dan ikhlas. Kalau nak kata Remy kawan istimewa saya, yes! Tapi bercinta, oh tidak! Cinta satu istilah yang sungguh mendalam maknanya. Terus-terang, saya belum bersedia ke peringkat percintaan, masanya belum tiba. Saya tak sedia untuk bercakap pasal cinta lagi,” kata Ummi yang seolah-olah berlapik berbicara soal hati.

Cinta tidak boleh dipisahkan dengan perasaan cemburu. Bagaimana pula dengan Ummi?

“Saya tidak cemburu, tapi ambil berat mengenai Remy,” katanya lagi.

Ummi terus diasak dengan soalan perangkap, adakah dia menyayangi Remy?

“Bukan sayang, tapi kasih, sebab saya ambil berat pasal dia,” kata Ummi yang akhirnya melerai suatu andaian mengenai hubungannya bersama Remy.

Gadis berusia 19 tahun ini dibesarkan dalam serba kemewahan, jadi kenapa perlu berlakon? Lebih baik dia melanjutkan pelajarannya.

“Satu perkataan - minat! Saya cuba nak jadi semua orang apabila bergelar pelakon. Apabila membintangi sesebuah drama atau filem, saya diberi pelbagai watak. Jadi saya cuba merealisasikan setiap watak dan perwatakan itu. Itulah maksud saya nak jadi semua orang.

“Namun, saya tidak lupa kepada kepentingan pelajaran. Saya akan ambil kursus jangka pendek supaya dapat beri tumpuan kepada dua bidang dalam satu-satu masa,” kata Ummi.

Status anak orang berada, Ummi sering dilabel sombong dan sukar bergaul apabila berada di lokasi penggambaran. Dalam erti kata lain, dia kurang bercampur dengan pelakon dan krew lain.

Ummi menjelaskan dia memang mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan orang yang belum dikenalinya dan itu menyebabkan timbul anggapan dirinya sebagai kurang mesra.

“Pertama kali jumpa orang yang tak kenal, saya tak cakap banyak. Jadi orang kata saya sombong. Tapi selepas beberapa lama berkawan atau bekerja dengan orang itu, saya boleh jadi rapat.

“Memang dalam masa menyesuaikan diri itu, saya akui, orang kata saya ‘kekwat’. Naluri orang, kita susah nak ubah. Saya minta maaf kepada sesiapa yang pernah terasa hati,” kata Ummi.

Sebagai remaja, Ummi juga tidak terlepas dengan dakwaan sebagai gadis mentah yang gemar bersosial, melepak, kaki botol, ambil dadah dan lebih panas, dia kononnya mudah ditiduri.

“Jangan doakan saya jadi seperti itu,” kata Ummi ringkas menjawab segala tuduhan yang dilemparkan.

INFO: Remy Ishak

  • NAMA PENUH: Mohammad Zalimei Ishak

  • TARIKH LAHIR: 11 April 1982

  • ASAL: Masjid Tanah, Melaka

  • KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik

  • PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sekolah Menengah Ghaffar Baba, Masjid Tanah

  • FILEM: Anak Halal, Duhai Si Pari-Pari, Hooperz, Akuarium Cinta dan Evolusi KL Drift 2

  • DRAMA: Sindarela, Awan Dania, Obsesi, Jalan Pintas Ke Neraka dan Iktikaf

  • KOMERSIAL: Kopi Radix, 5M - Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pelancongan Kuala Lumpur

    INFO: Ummi Nazeera

  • NAMA PENUH: Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin

  • TARIKH LAHIR: 20 Ogos 1990

  • ASAL: Kuala Lumpur

  • KELUARGA: Bongsu daripada dua beradik

  • PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), calon persendirian

  • FILEM: Lu Pikirlah Sendiri The Movie

  • DRAMA: Pesona Bintang, Takdir Yang Terindah, Dinasti Bilut, Ali Din, Awan Dania, Klon Teja dan Kejar

  • PERNIAGAAN MILIK KELUARGA: Restoran Sri Chiangrai, Danau Kota, Kuala Lumpur.

  • Solekan: Riezza Amour (013 434 3615)
  • Dandanan: Zul Bastari (012 381 2671)
  • Pakaian: Koleksi peribadi Remy & Ummi.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: