![]() |
| BERSAMA Aziah Jasmin selepas melancarkan buku The Pink Book tulisan bekas personaliti TV3 itu di MPH MidValley, baru-baru ini. |
TARIKH 15 Februari 2008 pastinya meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam diri penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza apabila lelaki yang menjadi pendokong kepada kejayaan seninya selama ini telah pergi buat selama-lamanya.
Pemergian ayahanda tercinta, Allahyarham Tarudin Ismail ke Rahmatullah akibat serangan jantung serta komplikasi buah pinggang dan kencing manis meninggalkan impak yang cukup besar dalam diri Siti.
Namun, sebagai hamba Allah, seharusnya kita reda dan menerima ketentuan yang telah tertulis kerana yang hidup pastinya akan pergi jua.
Meskipun hampir tiga minggu sudah berlalu, bagi Siti, dia masih lagi terasa kehilangan bapanya kerana pemergiannya adalah sesuatu yang mengejutkan.
"Sehingga kini saya masih lagi teringatkan arwah abah dan saya memerlukan masa untuk pulih seperti sedia kala. Sedih memang sedih tetapi saya terima kerana inilah kehidupan.
"Kita yang masih hidup ini perlu meneruskan kehidupan dan bagi mereka yang telah pergi, hanya doa dan ingatan sahaja yang mengiringi mereka," kata Siti dalam nada tenang.
Penyanyi tersohor ini ditemui sejurus selepas majlis pelancaran buku The Pink Book hasil karya bekas personaliti TV3, Aziah Jasmin Azizul di MidValley, baru-baru ini.
Kehadiran penyanyi yang kini cukup popular dengan lagu Di Taman Teman dan Pada Cintanya itu merupakan penampilan pertamanya di khalayak selepas pemergian bapanya.
Malah selepas hampir tiga minggu berlalu, Siti juga kelihatan makin langsing.
"Memang saya akui saya kurang selera untuk makan selepas apa yang berlaku," jawab Siti ringkas saat ditanya tentang penampilan dirinya itu.
Ditanya mengenai keadaan ibunya, Siti Salmah Bachik pula, juara Bintang HMI 1995 ini memberitahu, mengenali ibunya, beliau bukan seorang yang suka menunjukkan kesedihannya di depan anak-anak.
Sebaliknya kata Siti, ibunya seorang yang cukup tabah dan lebih suka berdiam diri kerana dia enggan menyusahkan anak-anak.
"Saya juga ada mengajaknya untuk tinggal bersama saya tetapi biasalah, orang tua. Dia mahu tinggal di kampung dan mujurlah adik-beradik serta saudara-mara ada di kampung untuk menjaganya.
"Selepas pengkebumian, saya tinggal bersamanya selama empat hari di kampung. Selepas menguruskan hal di Kuala Lumpur, saya pulang semula ke Kuala Lipis untuk bersama ibu sehingga semua hal diselesaikan," ujarnya.
Anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini juga memberitahu, dia akan terus berkabung sehingga hari ke-40 dan selepas itu, akan meneruskan aktiviti seninya seperti sedia kala.
"Memang banyak kerja yang telah menanti saya tetapi saya mahu berehat dulu. Buat masa ini, saya hanya akan menumpukan perhatian kepada persembahan yang berkonsepkan kerohanian dan ketuhanan.
Yayasan Nurjiwa
"Ini kerana ia juga sebagai salah satu cara untuk saya menghormati arwah bapa menerusi lagu-lagu yang saya sampaikan," jelasnya yang tetap jelita dengan solekan nipis.
Siti berkata, dia terpaksa menolak beberapa undangan persembahan dan rakaman program televisyen seperti Jom Heboh, AC Di Sini, Kelab Pop dan juga Zoom In Bersama Siti Nurhaliza untuk RTM.
Malam Sabtu lalu, Siti muncul dengan membuat persembahan sempena Malam Sinar Maulidur Rasul di Shah Alam bersama kumpulan Rabbani, Amy Search, Mawi dan Ustaz Akhil Hayy.
Selain itu, isteri kepada usahawan ternama, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa akan terlibat dengan pementasan teater muzikal Islamik, Sirah Junjungan sebagai penyanyi undangan.
Penglibatan Siti dalam teater arahan Erma Fatima itu juga jelas membuktikan penyanyi sehebat Siti tidak memikirkan tentang soal bayaran kerana apa yang lebih penting buat Siti adalah peranannya sebagai seorang penghibur dalam pementasan itu.
"Ini juga tentang soal kebajikan dan sebahagian hasil daripada penjualan tiket Sirah Junjungan akan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan oleh saya dan suami," ujarnya yang manis berpakaian putih dan merah jambu pada petang itu.
Penyandang gelaran Vokal Terbaik Wanita Anugerah Industri Muzik sebanyak sembilan kali itu juga memberitahu, dia akan meneruskan hajat dan impian bapanya yang mahu menguruskan syarikat berteraskan pertanian seperti yang dirancang sebelum ini.
"Sedih juga kerana tidak dapat melihat arwah abah menguruskan syarikat Saldin Sdn. Bhd. (singkatan nama bapa dan ibunya). Tetapi Insya Allah, kami sekeluarga akan melangsungkan rancangannya itu. Malah, kami juga sudah memohon sebidang tanah di Kuala Lipis bagi tujuan projek itu," kata Siti.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: