Friday, March 6, 2009

Jenayah warga asing makin membimbangkan




KUALA LUMPUR – Kejadian jenayah melibatkan warga asing semakin menjadi-jadi.
Kehadiran mereka pada mulanya mencari rezeki halal tetapi kini ada segelintir mereka mula bertindak di luar batasan undang-undang.

Ini kerana trend jenayah membabitkan warga asing terutama warga Indonesia semakin membimbangkan apabila pada 2008, seramai 52 penjenayah warga asing ditembak mati polis.

Ia didedahkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung mengenai jumlah penjenayah warga asing yang ditembak mati meningkat sebanyak 90 peratus berbanding tiga kes sahaja pada 2007.

Pada 2007, katanya, hanya tiga kes tembak mati dilaporkan melibatkan seorang warga Suluk dan dua kes lain melibatkan warga Indonesia.

Menurutnya, peningkatan kes itu itu ada kaitan dengan kemakmuran dan kekayaan yang dinikmati di negara ini dan ia dikenal pasti punca kenapa warga asing banyak terlibat dalam jenayah.

“Mereka ingin menikmati kemewahan seperti rakyat kita tetapi melalui jalan salah dan polis terpaksa mengikut lunas undang-undang .

“Namun, ingin saya tegaskan dalam setiap kes penjenayah ditembak mati, polis melakukan Standard Operating Prosedur,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Ismail Abd. Muttalib (BN-Maran), di Dewan Rakyat semalam.

Dalam pada itu, Chee Heung turut mendedahkan seramai 2,906 kes bunuh dilaporkan bermula 2004 hingga 2008 dan tahun lalu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 652 kes kesemuanya.

Katanya, pada 2004 sebanyak 565 kes bunuh dilaporkan, 497 kes bagi 2005, 604 kes bagi 2006, dan 588 kes bagi 2007.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: