Thursday, March 19, 2009

Que, Linda diraikan lagi


QUE haidar dan linda diarak dengan menaiki beca sambil diiringi oleh anak linda, qalif khan.


POPULARITI Felda Taik Andak di Kulai, Johor semakin meningkat apabila salah seorang daripada juara program realiti popular negara, Akademi Fantasia, Mawi datang dari kawasan berkenaan.

Mawi telah mengubah landskap perkampungan Felda itu menjadi sebuah kawasan kediaman yang sangat glamor.

Lebih glamor lagi apabila acara persandingannya dengan Ekin pada 28 Disember tahun lalu yang diadakan di sana mendapat liputan meluas media.

Hujung minggu lalu, di kawasan yang sama, ia menarik perhatian ramai apabila pasangan artis popular, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar, 29, dan isteri, Linda Jasmine Hashim, 36, menghimpunkan penduduk kampung di situ.

Pasangan itu diraikan dalam majlis persandingan anjuran keluarga Que di dewan Felda berkenaan.

Jika pada majlis persandingan Mawi dan Ekin dulu mereka diarak dengan kereta mewah, sebaliknya, Que dan Linda memilih diarak dengan beca.

Que dan Linda yang sebelum ini telah dinikahkan pada 14 Februari lalu di Restoran Bora Ombak, Ampang, Selangor begitu manis sekali mengenakan pakaian sedondon warna emas dengan taburan manik warna delima rekaan pereka fesyen terkenal, Sharifah Kirana.

Majlis persandingan yang cukup meriah itu turut dikongsi dengan lebih 3,000 tetamu termasuk rakan artis seperti Amy Search dan isteri, Nor Hasniza Hassan, Adlin Aman Ramlie bersama tunangnya, Emelda Rosmila serta Jeslina Hashim bersama keluarga.

Sebaik sahaja selesai disanding dan ditepung tawar oleh ahli keluarga, kedua-dua mempelai bersama dengan tetamu lain turut menjamu selera dalam acara makan beradat sebelum menukar pakaian kepada baju rekaan Calvin Thoo untuk acara memotong kek.

Usai acara memotong kek, Que dan Linda sekali lagi bersalin pakaian dan kali ini mereka mengenakan busana warna hijau dari Az Saloon & Bridal House Sdn. Bhd., untuk bersalaman dengan tetamu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: