Thursday, March 19, 2009

Tarikh lahir satukan Emelda - Adlin


PASANGAN sejoli... Emelda Rosmila dan Adlin Aman Ramli bersama barangan hantaran mereka.


TANGGAL 14 Mac 2009, genaplah 29 tahun usia pelakon Emelda Rosmila. Sambutan hari lahir kali ini meninggalkan kenangan manis bagi Emelda atau lebih mesra dipanggil Mel kerana pada hari itu secara rasminya menjadi tunangan kepada pelakon dan penggiat teater, Adlin Aman Ramlie, 36.

Pasangan merpati dua sejoli yang sudah empat tahun menyulam cinta ini didekatkan dengan ikatan pertunangan dalam majlis ringkas tetapi meriah yang berlangsung di rumah pusaka keluarga Mel di Kampung Batu Lapan, Ulu Kinta, Ipoh, Perak pada tarikh tersebut.

Meskipun impian disatukan sebagai suami isteri pada bulan ini tidak menjadi kenyataan, Mel dan Adlin tidak kecewa kerana hubungan cinta mereka kini tersimpul kukuh dengan ikatan pertunangan.

Pemergian ayahanda tercinta, Abdul Hamid Md. Ally akibat serangan jantung pada 2 Februari 2008, ujar Mel, merupakan punca mengapa dia dan Adlin mengambil keputusan menangguhkan perkahwinan yang dirancang diadakan pada bulan ini.

"Rancangan mahu bertunang dan berkahwin sudah lama dibuat tetapi terpaksa ditangguhkan kerana ayah meninggal dunia pada 2 Februari 2008.

"Tidak sesuai rasanya kami mengadakan majlis perkahwinan dalam keadaan keluarga masih bersedih mengenangkan pemergian ayah, apatah lagi ibu (Rokiah Ibrahim) baru sahaja menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahimnya kira-kira sebulan lalu," kata Mel.

Hasil persetujuan bersama, Mel dan Adlin memilih hari lahir mereka untuk memeterai ikatan suci antara mereka.

Tarikh lahir Mel yang jatuh pada 14 Mac lalu dipilih untuk melangsungkan majlis pertunangan manakala hari lahir Adlin pada 23 Mei ini akan menyaksikan mereka disatukan dengan ikatan perkahwinan.

Pada majlis pertunangan itu, wang hantaran telahpun ditetapkan RM29,000 dan mas kahwin sebanyak RM1,001.

Bagaimanapun ibu Adlin, seniwati veteran Ruminah Sidek atau lebih mesra dipanggil Mak Mah menambah RM1,000 lagi sebagai hadiah kepada bakal menantunya menjadikan wang hantaran RM30,000.

Seperti majlis pertunangannya, Mel juga merancang mengadakan majlis perkahwinan di rumah pusaka keluarganya kerana rumah itu menyimpan seribu kenangan pahit dan manis Mel sejak kecil sehinggalah dewasa.

Penyambung tradisi

Justeru bagi Mel, amat penting detik bersejarah dalam hidupnya turut diraikan di rumah pusaka itu sebagai penyambung tradisi, di samping memudahkan saudara mara yang kebanyakannya masih menetap di kampung bertandang.

"Kami sekeluarga bertolak terus dari Kuala Lumpur ke Ipoh pada hari pertunangan dan syukur alhamdulillah segala persiapan di rumah termasuk pelamin dan katering diuruskan sempurna oleh saudara mara," katanya.

Sesuai dengan majlis yang diadakan di kampung, perkahwinan Mel dan Adlin di Ipoh pada 23 Mei ini berkonsepkan tradisional Melayu Perak.

Adlin yang menyerahkan tugas menguruskan majlis perkahwinannya kepada bonda tercinta, Mak Mah memberitahu, kenduri bagi pihak lelaki akan diadakan di kampung halamannya di Meru, Klang pada Jun ini.

"Jika Mel memilih konsep perkahwinan tradisional Melayu Perak, keluarga saya pula memilih konsep perkahwinan tradisional Jawa.

"Saya sendiri tidak kisah dan akan ikut apa sahaja rancangan ibu asalkan majlis ini diadakan secara sederhana tetapi meriah," ujar.

Adlin menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menguruskan perkahwinan kepada keluarga kerana dia sibuk di lokasi penggambaran drama 26 episod berjudul Jongkang Jongkit untuk siaran di Astro.

Drama Jongkang Jongkit berunsur komedi yang membariskan Mel sebagai pelakon utama akan memulakan pengambaran tiga hari selepas majlis pertunangan mereka.

Meskipun penggambaran drama tersebut dijadualkan berlarutan sehingga Jun ini, Adlin yang bertindak sebagai penerbit dan pengarah tetap yakin jadual kerjanya yang padat tidak menjejaskan majlis perkahwinan mereka seperti dirancang.

"Insya-Allah...jika tidak ada aral melintang maka lengkaplah qada dan qadar.

"Saya merisik Mel pada Ogos 2008 dan merancang bertunang pada Disember tahun yang sama manakala bernikah pada Mac 2009.

"Syukur walaupun perancangan berkahwin pada bulan ini tertangguh tetapi ia tidaklah lama sangat. Kami tetap akan disatukan sebagai suami isteri pada 23 Mei ini dan lebih menggembirakan detik bersejarah itu jatuh pada hari lahir saya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: