![]() |
| AKSI menarik Pamela Anderson sewaktu menggayakan rekaan terbaru pereka fesyen terkenal, Vivienne Westwood di Paris, baru-baru ini. |
FIGURA ini sememangnya cukup popular di seantero dunia. Bukan kerana bakat lakonan yang ada dalam dirinya, tetapi hanya kerana dia memiliki susuk tubuh menggiurkan sehingga menjadi igauan lelaki.
Bukan itu sahaja, Pamela Denise Anderson atau lebih dikenali sebagai Pamela Anderson juga menjadi perhatian kerana memiliki payu dara yang sememangnya cukup luar biasa daripada wanita lain.
Kehadirannya boleh diibaratkan sebagai penyeri dunia hiburan di Hollywood kerana selain hadir sebagai seorang pelakon, kontroversi dan cerita-cerita hangat melingkari dirinya juga mendapat perhatian meluas.
Siapa yang boleh lupa pembabitannya sebagai C.J. Parker dalam siri Baywatch iaitu sebuah siri televisyen yang memaparkan kehidupan anggota penyelamat pantai dan pernah mencipta satu fenomena luar biasa di awal 90-an.
Baywatch mendapat kritikan yang cukup hebat kerana siri itu dikatakan tidak lebih hanya mahu menonjolkan pelakon wanitanya berpakaian renang dan secara tidak langsung siri itu telah dilabelkan sebagai rancangan yang mengeksploitasi wanita.
Namun, bagi Pamela, dia tidak mempedulikan kata-kata orang tentang dirinya kerana apa yang penting baginya, orang akan sentiasa sedar kehadirannya dalam industri seni.
Apa sahaja dilakukan Pamela akan menjadi sasaran pihak media yang sentiasa dahagakan berita sensasi dari bintang yang mendapat jolokan simbol seks itu.
Masakan masyarakat dunia boleh lupa apabila pita video seksnya bersama suaminya, Tommy Lee tersebar luas menerusi Internet sehingga menyebabkan Pamela menyaman Internet Entertainment Group kerana menyebarkan video itu.
Usaha Pamela tidak sia-sia apabila mahkamah memutuskan pihak berkenaan membayar ganti rugi sebanyak AS$1.5 juta (RM5.55 juta) selain daripada bayaran untuk yuran guaman.
Bukan itu sahaja, Pamela diawal usianya sebelum menjadi seorang pelakon juga merupakan antara gadis 'terpilih' dan menerima bayaran yang cukup lumayan hanya untuk bergaya tanpa seurat benang bagi majalah porno terkemuka, Playboy.
Pertama kali dia menjadi gadis penghias kulit majalah itu adalah pada tahun 1989 dan setahun selepas itu, dia 'dinaikkan pangkat' untuk bergaya di centre-fold (paparan tengah) majalah itu.
Dia juga mencipta rekod peribadi apabila muncul sebagai gadis penghias kulit dan paparan tengah untuk Playboy sebanyak 11 kali.
Mungkin kerana dengan imej berambut perang muda itu, dia sering kali menjadi bahan ketawa oleh masyarakat.
Aksi dan dirinya acap kali diselitkan dalam filem mahupun siri televisyen yang seolah-olah mencerminkan diri anak jati Kanada itu sebagai seorang yang bodoh dan tidak membawa sebarang impak positif dalam industri.
Sebagai contoh, filem Barb Wire lakonannya yang pernah ditayangkan pada tahun 1996 dan beberapa filem lain yang dianggap murahan telah dihentam dengan cukup hebat sehingga Pamela pernah menerima Anugerah Razzie sebagai Bintang Baru Terburuk pada tahun 1997.
Kehidupan privasinya juga menjadi perhatian masyarakat terutama sekali apabila dia dan suami pertamanya, Tommy Lee yang dikatakan mengadakan majlis perkahwinan dalam keadaan yang mengghairahkan di sebuah pantai yang terletak di California.
Bukan itu sahaja, Pamela dan Tommy berkahwin 96 jam selepas mereka mengenali antara satu sama lain!
Hasil perkahwinannya itu telah dikurniakan dengan dua orang putera, Brandon Thomas Lee, 12, dan Dylan Jagger Lee, 11.
Namun, perkahwinan yang dibina pada tahun 1995 itu tidak kekal lama apabila secara muktamadnya Pamela memfailkan perceraian pada tahun 1998 setelah bercerai dan rujuk semula dengan pemain drum kumpulan Mötley Crüe itu sebanyak dua kali.
Selepas perceraian itu, Pamela telah dikaitkan dan dikatakan bertunang dengan seorang model, Marcus Schenkenberg. Namun, hubungan singkat itu tidak berupaya membawa Pamela dan Marcus ke gerbang perkahwinan.
Kemudian, Pamela menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi rock terkenal, Kid Rock dan mereka mendirikan rumah tangga pada tahun 2006.
Keputusan itu diambil Pamela setelah spekulasi liar mula menular yang memperkatakan dirinya telah hamil sebelum berkahwin.
Memang benar dia hamil tetapi malangnya, dia mengalami keguguran sewaktu menjalani penggambaran filem Blonde and Blonder dan hubungannya bersama Kid juga berakhir dengan perceraian.
Masih lagi mencari cinta, Pamela bertemu pula Rick Salomon yang juga bekas kekasih sosialit terkenal, Paris Hilton pada tahun 2007 dan hubungan singkat mereka berakhir dengan perkahwinan yang berlangsung di sebuah gereja kecil di Las Vegas.
Tidak sampai setahun, Pamela memohon cerai atas alasan perkahwinan mereka itu merupakan satu penipuan.
Apa sahaja label yang diberikan kepadanya, ada kalanya mengusik hati kecil Pamela dan dia pernah meluahkan isi hatinya itu kepada seorang wartawan dalam satu temuramah tidak berapa lama dulu.
"Saya tidak faham kenapa orang melihat saya sebagai seorang perempuan bodoh sedangkan saya tahu saya merupakan seorang yang bijak. Pelik sungguh dengan kerenah manusia yang suka berpandangan negatif dan skeptikal terhadap orang seperti saya," katanya.
Siapa sangka orang seperti Pamela merupakan pejuang dan penyokong kepada hak-hak haiwan di Amerika Syarikat dan dia juga merupakan ahli People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) sementelah dia juga merupakan seorang vegetarian.
Untuk melihat kehidupan sebenar seorang insan seni bernama Pamela Anderson, kini, program realitinya berjudul Pam: Girl on the Loose bakal menemui penonton negara ini bermula esok (22 Mac) secara eksklusif menerusi saluran E! Entertainment Television (saluran 712, Astro).
Rancangan selama satu jam yang bersiaran pukul 9.30 malam itu akan memaparkan kisah dan aktiviti Pamela dalam bidang seni dan kehidupannya sebagai seorang ibu kepada dua orang anak serta seorang aktivis pejuang hak haiwan.
Pastinya, rancangan ini cukup menarik untuk ditonton dan semestinya, penonton akan dapat melihat karakter sebenar Pamela yang sering kali dilabelkan sebagai seorang yang tidak bijak.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: