Saturday, March 21, 2009

Aznil, Shila di saluran Disney




ESOK, personaliti popular negara, Aznil Nawawi akan muncul bersama penyanyi remaja, Shila untuk sama-sama menjayakan tayangan perdana Hannah Montana.

Selama sejam, tayangan istimewa Hannah Montana musim ketiga itu akan memberi peluang kepada para penonton pelbagai elemen menarik yang dijanjikan dalam musim baru itu.

Pelbagai topik daripada hal-hal yang melibatkan fesyen, selebriti jemputan, muzik dan pelbagai lagi, Aznil dan Shila akan mengupas isu-isu berkenaan dari perspektif mereka.

Selain daripada itu, tayangan perdana pada pukul 5.30 petang esok juga akan memberi peluang kepada peminat-peminat saluran Disney menonton klip video eksklusif lagu It's All Right Here nyanyian Miley Cyrus.

Bagi Shila, penyertaannya dalam produksi Hannah Montana sesuatu yang sangat bermakna.

Apatah lagi Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah, terpilih untuk merakamkan kembali lagu tema Hannah Montana, Best Of Both Worlds yang sebelum ini dipopularkan oleh Miley Cyrus.

"Sebelum ini, Shila ada menonton rancangan Hannah Montana kerana adik Shila peminat setia rancangan ini dan dia selalu mengajak Shila menontonnya sekali.

"Shila suka dengan pengisian cerita ini kerana sedikit sebanyak ada kaitan dengan hidup Shila dan pada masa yang sama ia ada mesej-mesej yang bagus dan sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

"Tak sangka pula Shila akan bekerjasama dengan Disney dan rasa sangat bertuah kerana terpilih," katanya.

Seperti watak Hannah Montana, Shila juga berkata, dia sedang mengejar impian untuk menjadi artis bertaraf dunia.

Penyanyi genit ini juga menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan bintang Hannah Montana itu, Miley Cyrus, satu hari nanti untuk mendapatkan rahsia kejayaannya pada usia yang muda.

Seperti mana yang ramai sedia maklum siri Hannah Monata menemui penonton di saluran Disney pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 9 malam sementara pada setiap hujung minggu pula ia ditayangkan pada pukul 5 petang.

Jadi, pastikan anda tidak lupa temu janji anda untuk menonton Hannah Montana bersama Aznil Nawawi dan Shila di saluran Disney (saluran 615, Astro) pada pukul 5 petang esok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: