Friday, March 20, 2009

Nana Tanjung papar pelbagai isu


BARISAN pelakon drama bersiri Nana Tanjung bersama Razak (kanan) dan Shukor (kiri).

Sitkom selit mesej berguna menerusi lawak jenaka

BAGAIKAN satu tradisi apabila filem yang mendapat sambutan baik akan dialih menjadi drama bersiri untuk saluran TV. Jika sebelum ini trend itu dipelopori pengarah prolifik, Datuk Yusof Haslam, jejak yang sama turut diikuti Profesor A Razak Mohaideen.

Selepas muncul dengan sitkom bersiri Anak Mami, kali ini Razak di bawah rumah produksinya, Line Clear Pictures meneruskan usaha mereka itu dengan menerbitkan sitkom kekeluargaan terbaru iaitu Nana Tanjung.

Berbanding filem asal, Razak menjelaskan untuk drama bersiri ini mereka akan menampilkan pelbagai isu setiap minggu yang berkaitan dengan kehidupan Pak Piee, yang menjadi tunjang kepada sitkom ini.

“Kalau menerusi filem kita melihat telatah Pak Piee membesarkan anak-anaknya mengikut budaya “Mami” namun kali ini kita perluaskan lagi unsur penceritaannya.

“Walaupun masih mengekalkan unsur humor namun pada masa yang sama kami tetap menyelitkan pelbagai mesej menerusi lawak jenaka yang dilakonkan setiap watak dalam drama ini dan setiap minggu kita akan tampilkan isu yang berbeza,” ujar Razak ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Nana Tanjung di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.

WAHEEDA turut membintangi Nana Tanjung.

Antara isu yang diketengahkan dalam sitkom ini termasuklah si suami menggunakan aktiviti bermain golf untuk menipu isteri serta gelagat sebuah keluarga apabila ada produksi ingin membuat penggambaran di kediaman mereka.

Walaupun membuat sedikit perubahan, namun jelas Razak elemen lucu dengan kemunculan Mami Jarum tetap ada kerana itu bagaikan sudah menjadi trademark dalam semua hasil kerja saya.

“Kekecohan keluarga Pak Piee ditambah dengan kehadiran Mami Jarum saya yakin boleh membuatkan drama ini terus mendapat perhatian penonton dan berjaya mendapat rating yang tinggi seperti drama Anak Mami sebelum ini,”ujar Razak optimistik.

Sitkom yang disiarkan menerusi saluran Dekat Di Hati iaitu TV9 ini menampilkan ramai pelakon hebat antaranya Pak Piee, Sheila Mambo, Ku Fridah, Waheeda, Saiful Apek, Fouziah Gous serta dua pendatang baru berbakat Alisya Amira dan Ramona.

DRAMA bersiri Nana Tanjung dibuat khusus untuk Saiful Apek.

Cerita Razak lagi, drama ini juga dibuat khusus untuk Saiful Apek memandangkan dalam drama Anak Mami sebelum ini, pelawak terkenal itu tidak dapat membintangi drama bersiri itu kerana terikat dengan komitmen lain.

“Kalau boleh, kami ingin kekalkan watak yang sedia ada dalam filem asal untuk drama ini.Bagaimanapun, tak semua mengikut jalan cerita filem asal, kami ada juga buat perubahan iaitu mewujudkan watak baru,”jelas Razak mengenai drama yang skripnya ditulis Shukor Mohaideen ini.

Drama 26 episod ini berkisar kepada ketua keluarga, Pak Piee berusaha untuk mempertahankan keharmonian dan kebahagiaan keluarganya.Dalam pada itu, dia dan juga anggota keluarganya yang lain turut berdepan dengan pelbagai konflik.

Ditanya apakah akan ada drama bersiri yang akan menyusul selepas Nana Tanjung, Razak berkata perkara itu memang sudah ada dalam perancangan mereka.

“Kami bercadang untuk menjadikan filem Otai sebagai drama bersiri dan Saiful Apek sendiri sudah bersetuju untuk berlakon dalam drama itu.Begitu juga dengan nasha. Kalau tiada aral, kami akan memulakan penggambaran drama ini secepat mungkin,” jelas Razak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: