Friday, March 6, 2009

Kuiz Teka Suara Siapa semakin hangat - Tawaran wang tunai RM18,000!


TUAH dan Zizie (belakang) berbangga dengan pencapaian Suria FM hari ini.



ENGKU EMRAN


HANGAT dan semakin hangat. Bayangkan wang lebih RM18,000 dalam tangan secara tiba-tiba datang bergolek.

Mahukan wang sebanyak itu menjadi 'durian runtuh' buat anda? Ia hanya akan menjadi kenyataan menerusi Kuiz Teka Suara Siapa di stesen radio Suria FM, stesen radio yang semakin rancak mendapat perhatian pendengar.

Kuiz yang telah bermula pada 16 Februari lalu kini semakin membara kehangatannya dan sentiasa ditunggu-tunggu pendengar.

Bakal berlangsung sehingga 15 Mac ini, kuiz yang bermula pada pukul 8 pagi hingga 8 malam ini menampilkan setiap perkataan yang berbunyi, "Muzik Tanpa Henti".

Tagline itu akan disebut oleh empat personaliti yang berbeza yang terdiri daripada penyanyi (solo atau berkumpulan), pelakon, pengarah, ahli sukan atau tokoh terkenal.

Pendengar hanya perlu meneka siapakah gerangan pemilik suara berkenaan dan jika berjaya meneka dengan tepat, rezeki lebih cerah menanti di depan.

Jika tiga atau empat nama personaliti itu tersenarai dalam jawapan yang diberikan, maka pendengar akan memenangi wang tunai sebanyak RM1,000 untuk setiap nama betul yang disebut buat pertama kalinya.

Jangan tidak percaya, jika anda berjaya meneka empat nama personaliti yang menyebut, "Muzik terbaik tanpa henti" dengan tepat, anda berpeluang memenangi wang tunai terkumpul sehingga RM50,000!

"Bukan omong-omong kosong, tetapi itu adalah kenyataannya. Pendengar Suria FM mampu memperolehi wang sehingga jumlah sebanyak itu," demikian kata penyampai Suria FM, Tuah Zulkarnain.

Menurut Tuah, pendengar hanya perlu mendail 03-4041 1053 sebaik sahaja mendengarkan isyarat memanggil daripada penyampai bertugas seawal pukul 8 pagi.Bagi keterangan lanjut, anda juga boleh melayari www.suriafm.com.my.

Dalam pada itu Tuah sempat memberikan jaminan bahawa pendengar usah gusar sekiranya tidak boleh menjawab dengan betul ketika soalan diajukan.

Ini kerana pembayang kepada jawapan yang betul akan diberikan setiap hari dari Isnin hingga Jumaat pada pukul 8 pagi menerui segmen Breakfast@Suria bersama penyampai Tuah dan Zizi.

"Sehingga kini, hanya seorang pendengar berjaya meneka satu nama dengan tepat menerusi segmen Surialicoius Bersama Penyampai Mira yang berlangsung dari 10 pagi hingga 1 tengah hari.

"Pendengar bertuah itu ialah Zureha Harun dari Taman Putra Damai, Lembah Subang, Petaling Jaya. Ini bermakna akan lebih ramai lagi pendengar berpeluang memenangi hadiah wang tunai yang disediakan," katanya lagi.

Dengan pelbagai hadiah lumayan yang ditawarkan radio berkenaan, ia secara tidak langsung menaikkan lagi semangat penyampai radio berkenaan untuk memberikan hiburan yang terbaik kepada pendengar mereka melalui rancangan kelolaan setiap hari.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin memberitahu, ini adalah salah satu cara radio berkenaan menghargai peminatnya.

Mereka sedar, dalam arus persaingan yang semakin deras, sesuatu perlu dilakukan dan penajaan hadiah berupa wang tunai seperti ini mampu untuk membangkitkan rasa kasih sayang pendengar terhadap radio mereka.

Dengan sasaran jumlah pendengar yang lebih ramai, Suria FM berharap agenda ini berjaya menarik lebih ramai pendengar untuk terus menyintai radio berkenaan sekaligus mengambil peluang memenangi wang tunai berkenaan.

"Sehingga semalam, jumlah wang tunai yang boleh dimenangi meningkat mencecah RM18,000. Ini bermakna bermula hari ini, pendengar radio kami berpeluang memenangi sehingga RM18,000 wang tunai," tambah Engku Emran.

Bersama Menjunjung Damai

Sementara itu, penyampai Suria FM akan bertemu dengan peminat mereka sempena Konsert Menjulang Damai yang bakal diadakan pada 20 Mac depan bertempat di Dataran Remaja, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil bermula pukul 8 malam.

Konsert yang dianjurkan dengan tujuan untuk memaknakan lagi rasa kasih sayang dan keamanan di kalangan muda-mudi itu bakal dibarisi ramai artis-artis handalan negara.

Antaranya ialah Mawi, Meet Uncle Hussain, Estrange, Bunkface, Aizat dan ramai lagi. Artis-artis ini akan mempersembahkan lagu-lagu popular mereka, selain bertemakan keamanan.

Di samping itu juga artis dan penyampai Suria FM akan mendeklamasikan puisi-puisi indah yang menjurus kepada tema kedamaian dan kasih sayang berpanjangan di kalangan anggota masyarakat.

Ini juga sebagai salah satu cara Suria FM mendekatkan diri dengan pendengar kami, selain menyokong usaha yang dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk acara Konsert Menjunjung Damai itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: