Tuesday, March 3, 2009

Jason Mraz teruja!


JASON MRAZ meraih populariti yang memberangsangkan di negara ini.


JASON MRAZ teruja dan sudah bersedia! Perhatian kepada semua peminat yang sedang menantikan kunjungan penyanyi yang sedang meledak dengan lagu I'm Yours dan Lucky itu ke Malaysia.

Dijadualkan mengadakan konsert di Stadium Negara pada esok, 4 Mac, menjelang pukul 8 malam, penganjur Konsert Jason Mraz Live in Malaysia, Marctensia membuat pengumuman bahawa separuh daripada tiket konsert tersebut sudah habis dijual.

Menurut Eksekutif Kanan Pemasaran Marctensia, Michelle Lee, jualan tiket yang habis terjual meliputi tiket yang berharga RM88 (tempat duduk bebas), RM168 dan RM208 (tempat duduk bernombor).

"Sementara, kategori tiket yang masih ada adalah yang berharga RM68 (tempat duduk bebas)), RM138 (The Rockzone) and RM258 (The Pitt).

"Bagaimanapun, jualan tiket untuk tiga kategori ini cukup menggalakkan yang mana 70 peratus daripadanya sudah habis dijual," ujar Michelle.

Tidak disiarkan di Internet

Dalam pada itu, Marctensia juga ingin memperbetulkan khabar angin yang tersebar mengatakan konsert Jason di Malaysia akan disiarkan secara langsung menerusi Internet.

"Konsert Jason adalah konsert bertiket dan tidak akan ada siaran secara langsung atau tertangguh seperti yang didakwa," tegas Michelle.

Memulakan sesi jelajah Asia pada 21 Februari lalu di Seoul, Korea Selatan, Jason kemudian meneruskan kembaranya itu ke Jepun, Taiwan dan Hong Kong sebelum singgah ke Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Selepas Asia, Jason akan terbang ke Eropah bagi tujuan mengadakan konsert di lebih 20 bandar raya termasuk Australia, sebelum kembali ke Amerika Syarikat.

"Walaupun jadual hariannya padat, namun kami memberi jaminan, konsert Jason Mraz di Malaysia akan tetap diadakan dan dia juga sudah bersedia untuk menghiburkan peminatnya di sini.

"Malah, dia juga akan berada di Malaysia sehari lebih awal sebagai persiapan sebelum konsert bermula," beritahu Michelle lagi.

Tambahnya, populariti Jason Mraz di Malaysia pula cukup memberangsangkan. Sehingga kini, lagu I'm Yours berjaya meraih muat turun sebanyak satu juta di Malaysia.

Bukan itu saja selepas kejayaan lagu I'm Yours dan Lucky dari album berjudul We Sing. We Dance. We Steal Things., bakal muncul single ketiganya yang berjudul, Make It Mine.

Media rasmi untuk konsert itu termasuklah stesen Mix FM dan Era FM yang mengadakan peraduan bersama stesen radio sokongan rasmi Hitz.FM bagi memberi tiket percuma kepada pendengar.

Manakala Channel [V] bertindak sebagai penaja rasmi. Pemenang peraduan berpeluang untuk memenangi Sesi Bertemu Peminat VIP bersama Jason Mraz.

Peminat Jason Mraz masih berpeluang menonton konsert tersebut dan boleh mendapatkan tiket dengan menghubungi Ticket Axcess di talian 03-77115000 atau layari www.axcess.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: