Tuesday, March 3, 2009

David hanya cakap kosong! - Pierre




"ITU semua propaganda daripada David. Dia sengaja mahu menunjukkan yang dirinya paling berkuasa. Saya pun tak kisah dengan semua itu. Yang penting saya jutawan pada maruah dan bukan jutawan kerana wang!" Itu kenyataan yang amat tegas terkeluar daripada mulut anak muda yang dikenali umum dengan nama Pierre Andre.

David yang dimaksudkan Pierre itu, tidak lain dan tidak bukan penerbit syarikat filem paling aktif di negara ini iaitu Metrowealth Movie Productions (MMP), siapa lagi kalau bukan David Teo.

Luahan kenyataan daripada Pierre itu sebenarnya bagi mengulas soalan Kosmo! mengenai kenyataan David sebelum ini yang mendakwa Pierre terlepas peluang untuk menjadi jutawan melalui skim 10 pengarah muda yang ditubuhkan MMP.

"Saya gembira bila dia mahu mengasah bakat pengarah-pengarah muda. Tetapi nasihat saya kepada pengarah baru, buat sesuatu dengan apa yang mahu dibuat, jangan mereka mengubah anda," ujarnya.

Mengimbas kembali kenyataan yang dikeluarkan David sebelum ini, Pierre agak berang apabila penerbit berketurunan Cina itu cuba mengaitkan agama dengan kejadian yang telah berlaku antara mereka.

"Bagi saya itu satu penghinaan kerana dia mengaitkan agama. Siapa dia untuk bercerita tentang agama? Lima tahun bekerja dengan dia, saya hormat dia dan banyak benda saya pelajari daripada dia.

"Dia kata, saya seperti anaknya. Logik tak jika seorang bapa memburuk-burukkan anak? Dulu saya memang malas nak ulas panjang tentang kontroversi itu. Tapi, makin saya diam, makin menjadi-jadi," katanya tanpa berselindung.

Pengarah muda itu kesal apabila dia dianggap seperti kacang melupakan kulit. Ditambah pula dia dikatakan punca MMP kerugian besar kerana gagal menghabiskan babak terakhir filem Jangan Tegur.

Masih lagi tenang berbicara, Pierre meneruskan hujah. "Tidak ada apa-apa kerugian yang berlaku berkaitan bajet filem itu. Ada beberapa perkara yang telah saya buat semasa proses pra-produksi dalam beberapa filem walaupun tidak diberikan kredit.

"Saya tak kisah dan biasalah, kita perlulah mengikut kata penerbit. Tapi bila dia kata saya menjadi punca kerugiannya, tunjukkan di mana aspek kerugian itu timbul.

"Dia kata saya merugikan produksinya sebanyak RM70,000. Tetapi bagaimana dengan idea saya menerusi beberapa filem dengan MMP ( yang boleh dianggarkan) bernilai RM7 juta?

"Banyak lagi bayaran yang masih saya belum dapat, walhal pelakon lain sudah menerima bayarannya. Saya cuma minta wang hasil titik peluh saya yang dijanjikan," tegasnya yang juga kesal apabila pihak pengurusan MMP tidak mengendahkan mahupun cuba membantunya ketika dia 'diserang' wartawan yang cuba mendapatkan jawapan berkait dengan isu pergeseran dirinya dengan David itu, baru-baru ini.

Kewangan mula merudum

Namun, kenapa baru sekarang Pierre baru menampilkan diri? Ini kerana sejak isu 'pergaduhan besar' antaranya dan David kecoh diperkatakan hujung tahun lalu, Pierre bagaikan lesap entah hilang ke mana.

Ada yang mengatakan Pierre merajuk dan ada juga mulut nakal mengatakan Pierre merasa bersalah lalu mendiamkan diri agar tidak dijejaki.

Lalu David membuat kenyataan bahawa Pierre telah rugi besar kerana tidak mengikut strategi penerbit jutawan itu untuk menjadikan Pierre seorang pengarah jutawan dalam masa tiga tahun.

Malah, anak aktres Khatijah Tan ini juga dikatakan David sebagai tidak mengenang budi dengan segala jasa yang telah dilimpahkan kepadanya. Namun, Pierre hanya diam membisu.

"Ketika isu antara saya dan David tengah panas, memang saya ambil sikap berdiam diri. Saya tak mahu bergaduh dengan cara membalas kenyataan melalui akhbar. Sampai bila pun tak akan selesai masalah tersebut.

"Selepas itu, saya macam biasa. Cuma saya tidak dipanggil untuk membuat sesi fotografi atau temu bual melalui telefon. Jadi, saya anggap, orang memang dah bosan dengan saya agaknya dek kerana kontroversi-kontroversi yang timbul. Biasalah, bila orang kata kita macam-macam, mulalah orang fikir buruk tentang kita.

"Lagipun saya tak menghilang. Saya ada beberapa projek yang perlu diuruskan. Ini pun, saya baru pulang dari Jakarta. Saya sedang mengkaji pasaran di sana. Mana tahu, rezeki saya di Jakarta pula," ujar Pierre.


PIERRE lebih menghargai maruah diri berbanding wang.


Pierre terbang ke kota Jakarta kerana dia mahu satu pembaharuan dalam kerjayanya. Merajuk? Mungkin benar, tetapi skop impiannya dalam bidang perfileman kini lebih luas dan Pierre tidak mahu lagi bergantung pada orang lain.

"Sebab utama saya ke Jakarta adalah bertujuan melihat cara orang di sana berniaga filem kerana pasaran mereka besar.

"Tipulah kalau saya kata tujuan saya ke sana bukan kerana kontroversi yang saya lalui. Betul, itu adalah antara salah satu sebab dan sedikit merajuk kerana saya rasa peminat industri seni tempatan tidak mahu saya lagi.

"Sehingga hari ini masih lagi orang bercakap tentang saya. Pernah sekali, saya terfikir mahu menetap terus di Jakarta kerana rasa teraniaya dengan isu yang tak relevan itu. Semua orang menuding jari kepada saya.

"Tapi bila difikirkan balik, sampai bila mahu duduk di negara orang bukan? Saya akan membuat projek di Jakarta, tetapi di sini, saya tetap utamakan dahulu," tuturnya yang akan kembali ke negara seberang itu pada bulan Julai nanti.

Tambahnya, sejak penggambaran telefilem Crazy di Jakarta, Pierre mahu menghasilkan sesuatu di negara itu dan kini dia sedang mendapatkan permit untuk menjalankan misinya itu.

Dalam pada itu, dia turut mengakui kewangannya semakin merudum selepas kontroversi itu. Menerima dengan hati terbuka terhadap apa yang telah berlaku, bagi Pierre, setiap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

Biarpun hatinya terdetik memberitahu ada dalang yang cuba menjatuhkannya, Pierre cuba mengabaikan perasaan itu.

"Saya tak mahu fikir pasal itu. Siapa yang termakan cili, dia yang terasa pedas. Selepas sebulan kekecohan itu, saya semakin terdesak dari segi kewangan.

"Sebab itu saya perlu merancang perjalanan karier saya sebelum lebih parah. Saya tahu, rezeki di tangan Tuhan. Namun, usaha itu juga penting untuk mendapatkan hasil.

"Alhamdulillah, saya kembali dengan macam-macam projek termasuklah akan bekerjasama dengan pelabur Jepun dalam menghasilkan filem berkaitan Malaysia dan Jepun. Tapi semua itu masih lagi dalam perancangan," katanya.

Tidak kisah dengan gelaran playboy

Sering digosip dengan aktres-aktres cantik yang pernah berlakon dengannya, Pierre sudah diberi gelaran playboy oleh sesetengah orang.

Langsung tidak mengendahkan dengan gelaran yang diberi, bagi Pierre, setiap orang mempunyai pendapat masing-masing secara positif mahupun negatif.

"Lantaklah orang nak gelarkan saya apa. Orang beri gelaran itu mungkin sebab dulu saya pernah tinggalkan Yana (Pengarah filem Selamat Pagi Cinta, Norliana Samsudin) dan dikatakan sering berfoya-foya dengan wanita. Kemudian orang kata saya bercinta dengan orang yang tidak wujud.

"Tentang Yana, saya akui itu memang salah saya dan kini kami menjadi kawan baik. Kalau saya ada jodoh dengan dia, adalah. Kadang kala saya hairan, orang yang membuat cerita tentang cinta saya lebih tahu berbanding diri saya, pelik bukan?" soalnya yang bakal sibuk untuk penggambaran drama Suaka pada bulan ini.


PIERRE mengakui rapat dengan Julia Ziegler.


Ditanya pula tentang hubungan rapat Pierre bersama pelakon jelita, Julia Ziegler, dia memberitahu: "Saya dengan Julia memang rapat. Cinta? Awak sendiri boleh berfikir. Saya tak mahu cerita panjang tentang ini kerana perlu menjaga hati pihak lain juga.

"Tentang perancangan untuk mendirikan rumah tangga juga ada, sebab itu saya bersiap sedia untuk membeli rumah untuk masa depan nanti."

David elak jumpa Pierre?

PERSOALAN yang timbul daripada kes Pierre dan David ini adalah apakah mereka akan terus bermusuhan, dan sudah berpatah arang? Pierre menegaskan David seolah-olah enggan bersemuka dengannya. “Puas saya telefon dan hantar SMS kepada dia, tetapi tiada jawapan langsung. Sampaikan ibu dan bapa saya juga mahu berjumpa dengannya dan sehingga kini, dia cuba mengelak daripada bertemu dengan kami.”

Bagaimanapun, lain pula cerita David bila Pierre dikatakan hanya menghantar wakil untuk mendapatkan haknya.

Bagi David, dia lebih senang jika masalah antaranya dengan Pierre diselesaikan bersama.


DAVID TEO


“Sejak bila dia (Pierre) telefon saya? Saya tidak pernah menerima panggilan mahupun SMS daripada dia. Kenapa dia perlu menghantar wakil ke pejabat saya?

“Bukankah lebih mudah jika dia datang ke pejabat dan kita selesaikan bersama. Selama ini, hari-hari dia datang ke pejabat macam biasa dan selepas kejadian itu, dia pun tak muncul-muncul.

“Saya keluarkan duit untuk untuk dia berdikari (hasilkan filem) dan saya tak pernah pijak dia ataupun hentam dia dari belakang. nak cerita panjang pun saya dah penat, saya tak nak ada kontroversi lagi,” tegasnya kepada Kosmo!.

Tambah David, dia yang sebelum ini menganggap Pierre sebagai anaknya, tidak mahu menegur Pierre lagi kerana dikatakan sudah tidak mendengar kata.

“Sepatutnya, ayah yang cari anak atau anak yang cari ayah? Dialah yang kena datang ke pejabat. Tak perlulah nak berdolak-dalih lagi.

“Takkan nak suruh wakil dia yang tandatangan segala urusan yang ada bersama kami? Sepatutnya dia yang bertanggungjawab tentang itu.

“Kalau nak ikutkan, dia masih belum habis kontrak lagi dengan pihak kami (MMP). Tetapi dia dah pandai-pandai pergi ambil projek lain dan mendakwa yang kontraknya dengan kami sudah tamat,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: