Thursday, March 5, 2009

Heart of Greed - Memancing populariti dan kualiti


PELAKON Wanita Popular, Louise dan pelakon Lelaki Popular, Moses.


Selepas lima tahun penganjuran, Astro Wah Lai Toi Drama Awards diyakini sudah menjadi satu majlis anugerah yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Cina tempatan terutama bagi mereka yang mengikuti setiap drama terbitan stesen TV Hong Kong, TVB yang disiarkan menerusi saluran Wah Lai Toi.

Walaupun majlis yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, baru-baru ini diganggu dengan limpahan hujan semasa acara karpet merah, beratus-ratus peminat tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan artis-artis kegemaran mereka memasuki dewan.

Ada yang basah bermandi peluh dan ada yang jatuh ditolak tetapi itu semua berbaloi dengan lambaian dan senyuman yang dilemparkan oleh pujaan masing-masing.

Maka, tidak keterlaluan jika dikatakan majlis itu adalah yang paling utama dan diraikan oleh masyarakat Cina tempatan.


ANTARA pemenang watak popular (dari kiri) Joe, Jessica dan Ron.


Bukan sahaja mendapat penonton yang penuh di dalam dewan, ramai sebenarnya yang bersesak di luar dengan harapan mendapat peluang untuk memasuki dewan. Tetapi keadaan di dalam dewan sendiri sudah cukup sesak dengan 6,000 audiens yang duduk dan berdiri.

Bermula tepat pukul 8 malam, Astro Wah Lai Toi Drama Awards 2008 seperti tahun sebelumnya memberikan peluang kepada penonton untuk memilih artis kesayangan atau drama kesukaan masing-masing yang ditayangkan sepanjang tahun 2008.

Dijalankan menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) atau telefon selama sebulan mulai 17 Januari hingga 17 Februari lalu, tahun ini dua kategori ditambah menjadikan 11 kategori kesemuanya.


LINDA CHUNG turut menghiburkan penonton dengan nyanyian.


Majlis yang disiarkan secara langsung di saluran Wah Lai Toi (Astro 311) dihadiri 12 aktor popular TVB. Mungkin disebabkan keyakinan terhadap majlis itu, tahun ini menyaksikan lebih ramai kehadiran artis TVB dan ada di antaranya berprofil tinggi.

Selain Raymond Lam, Bosco Wong, Moses Chan, Myolie Wu, Jessica Hsuan, Tavia Yeung dan Ron Ng yang hadir hampir setiap tahun, Linda Chung, Susanna Kwan, Louise Lee, Shirley Yeung, Joe Ma, Hui Shui Hung dan Lo Koon Lan hadir buat kali pertama.

Bermula dengan penyampaian 12 anugerah Watak Popular, berdasarkan kehadiran artis dan pencalonan, ramai yang sebenarnya sudah boleh meneka senarai pemenang.

Anugerah yang dinanti-nantikan seperti Pelakon Lelaki dan Wanita Popular, Pasangan Popular serta Drama Popular juga bagaikan sudah diketahui jawapannya melihatkan popularitinya.


BARISAN artis Hong Kong dan Malaysia serta hos bergambar pada penghujung majlis.


Menepati jangkaan ramai, drama Heart of Greed yang sebelum ini sudah menerima pelbagai anugerah di Hong Kong dinobatkan sebagai Drama Popular. Malah drama itu juga membolehkan Moses diberikan gelaran Pelakon Lelaki Popular serta Louise, Pelakon Wanita Popular.

"Tidak sangka selepas tiga tahun drama ini diterbitkan saya masih mampu berdiri di atas pentas untuk menerima anugerah. Malam ini rasanya saya seperti sedang memancing anugerah. Tidak pernah saya sangka untuk menerima tiga anugerah malam ini. Saya sangat menggeletar dan ingin menangis," kata Louise.

Moses yang membawa pulang anugerah Pelakon Lelaki Popular mengalahkan pilihan kegemaran ramai, Raymond. Ini kerana watak Moses dalam Heart of Greed dilihat lebih menyerlah berbanding Raymond dalam The Drive of Life.


DARI kiri, Susanna, Shirley dan Hui Shiu Hung.



BOSCO WONG





"Menerusi watak ini, saya sudah mendapat dua anugerah di Hong Kong. Tidak sangka di Malaysia saya juga menerima dua anugerah. Saya suka datang Malaysia kerana rasanya seperti sedang bercuti dan ditambah dengan anugerah ini, ia amat menggembirakan," ucap Moses.

Selain dua pemenang besar malam itu, Bosco yang dikatakan membawa 'kekasihnya', Myolie turut menjadi tumpuan ramai. Mereka dijadikan bahan perbualan hos Nat Chan, Angel Wong, Lynn Lim dan Vivian Tok.

Namun, apa yang membuatkan majlis itu lebih hangat adalah semasa Raymond dipaksa mencium Angel dan Lynn di atas pentas. Tidak berhenti di situ, Vivian juga 'memaksa' Moses untuk memberikan ciuman kepadanya di atas pentas.

Tindakan itu memang mengundang gelak ketawa penonton tetapi ada juga pihak yang menyatakan ia agak keterlaluan. Ini reaksi 'mangsa' apabila ditanya perasaan mereka di atas pentas ketika itu.

"Saya sudah biasa dengan perkara-perkara seperti ini. Pengacara cuma ingin mencipta suasana gembira dan membuat audiens ketawa. Nat hebat kerana berjaya melakukannya dan menyelitkan gosip," kata Moses yang menjadi fokus utama majlis.

Pemenang Pasangan Popular, Raymond dan Linda (Heart of Greed) mendapat tepukan gemuruh kerana ramai peminat mengharapkan mereka adalah pasangan kekasih dalam kehidupan realiti. Mereka juga menjadi tumpuan hos bagaimanapun tidak memberikan respons mengenai status hubungan mereka.

"Itu perkara biasa yang dilakukan oleh pengacara. Saya rasa mereka bijak mengambil bahan bualan yang disukai penonton untuk menghidupkan majlis. Selain audiens yang terhibur, kami sebagai artis juga terhibur," jelas Raymond yang menyukai wataknya dalam The Drive of Life.

Pelakon veteran, Hui Shiu Hung yang pada mulanya hadir sebagai penyampai anugerah tidak menyangka dirinya akan membawa pulang anugerah Babak Popular dalam drama Dicey Business.

"Tidak sangka saya boleh menang anugerah malam ini kerana saya hadir sebagai penyampai anugerah. Ini adalah anugerah pertama saya selepas berlakon berpuluh-puluh tahun."

Shirley yang memiliki rupa paras comel juga tidak menyangka percubaan pertama memegang watak jahat mampu mendapat sokongan audiens. Diberi anugerah Watak Jahat Paling Popular menerusi drama The Brink of Law, bekas juara ratu cantik Hong Kong itu memberitahu: "Anugerah ini amat bermakna buat saya.

"Pihak penerbit dengan berani telah memilih saya dan mempercayai kebolehan saya. Memang menyeronokkan untuk menjayakan pelbagai watak termasuk watak jahat dan saya ingin terus mencuba."

Majlis anugerah itu juga diserikan dengan persembahan Bosco, Linda dan Raymond. Sketsa mengenai drama Heart of Greed dipersembahkan oleh hos malam itu dengan gabungan artis Hong Kong. Sementara itu, pengacara Astro diberikan penghargaan untuk menyampaikan hampir kesemua anugerah malam itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: