![]() |
| AMAN Graseka (dua dari kanan) membawakan watak Usman dalam Sirah Junjungan. |
“SAYA tidak kisah kalau kurang mendapat penajaan. Tetapi, hati saya sedih dan kecewa kerana ada pihak yang sanggup kata jalan cerita pementasan Sirah Junjungan tidak begitu menarik.”
Itu nada kecewa yang diluahkan oleh pengarah teater muzikal Islamik, Sirah Junjungan, Erma Fatima saat diaju soalan tentang perkembangan terkini pementasan teater tersebut.
Menurut Erma, Sirah Junjungan bukannya sama dengan teater muzikal lain dan ia mengisahkan tentang riwayat hidup Rasulullah s.a.w.
Jelasnya, mesej penting yang ingin disampaikan menerusi Sirah Junjungan adalah mengenai perjuangan Rasulullah menegakkan syiar Islam meski dicerca dan mendapat tentangan kaum Quraisy.
“Sudahlah penaja susah hendak dapat. Ini ada pula yang sanggup kata jalan cerita pementasan perjuangan Nabi Muhammad ini tidak menarik.
“Saya sangat kecewa dan sedih,” kata Erma saat ditemui pada sesi latihan Sirah Junjungan di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sirah Junjungan musim kedua terbitan Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia itu bakal dipentaskan di Istana Budaya bermula 9 hingga 22 Mac ini.
Barisan pelakon yang membintangi Sirah Junjungan adalah Vanida Imran selaku Siti Khadijah, Rebecca Nur Al Islam (Hendon), Ahmad Yatim (Abu Talib), Aman Graseka (Usman) serta Mazlan Tahir selaku pencerita dan penyumbang suara untuk watak Muhammad.
Pelakon-pelakon lain, Wong Sip Nen, Shahronizam Noor serta Jessie Lim.
Menyambung bicara, Erma berkata, biarpun kepayahan mendapatkan penajaan dan berhadapan dengan kata-kata pedih terhadap jalan cerita Sirah Junjungan, dia enggan mengalah kerana ini adalah tanggungjawabnya selaku insan seni.
“Kita lihat, Rasulullah bukan sahaja ditentang pada zamannya tetapi sehingga kini, Barat dan media-media mereka menyiarkan propaganda memburukkan Baginda.
“Justeru, sebagai orang Islam dan insan seni, saya harus lakukan sesuatu. Melalui pementasan inilah, saya dapat memperlihatkan hebatnya perjuangan Rasulullah,’’ ujarnya.
Mengenai penajaan, Erma memberitahu, seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, pihaknya telah menghantar sebanyak 40 kertas kerja kepada pihak swasta dan korporat.
Malangnya, kata Erma, sehingga kini, sambutan yang diterima cukup mengecewakan.
“Cuma ada Tabung Haji. Universiti Multimedia pula menaja dalam proses pembikinan visual dan kesan khas selain penaja untuk pakaian. Dapatlah ringankan beban kami.
“Saya juga bersyukur kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudi menjadi penaung pementasan teater ini dan telah banyak membantu,’’ katanya.
Menurutnya, kepayahan mendapatkan penajaan sedikitpun tidak melemahkan semangatnya dan perjuangan Rasulullah memberinya perangsang untuk bangkit meneruskan pementasan teater berkenaan.
“Bila saya patah semangat, Rasulullah sering kali saya jadikan contoh terbaik untuk tidak mudah menyerah kalah.
“Meski terpaksa bergolok gadai dan keluarkan duit poket sendiri, saya tetap akan teruskan pementasan ini,’’ ujarnya.
Sesi latihan berjalan lancar
Sementara itu, ditanya mengenai sesi latihan, Erma memberitahu bahawa segalanya berjalan dengan lancar.
Katanya, komitmen pelakon yang terlibat dalam pementasan Sirah Junjungan juga cukup baik.
“Kita ada lebih kurang 300 pelakon. Latihan sudah dijalankan sejak dua minggu lalu.
“Selain pelakon ternama, kita menggunakan khidmat artis Istana Budaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa serta Persatuan Silat Makrifat,’’ jelasnya.
Menurut Erma, Sirah Junjungan musim kedua tidak terlepas daripada menjalani proses penambahbaikan seperti set pentas dan beberapa penambahan lain.
“Kalau di musim pertama, ia lebih kepada nyanyian tetapi untuk musim ini kita masukkan tarian.
“Apa yang saya hendak katakan ia lebih hebat berbanding musim lepas,’’ tambahnya.
Selain pelakon ternama, Sirah Junjungan turut menampilkan empat penyanyi undangan iaitu Datin Seri Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Amy dan Mawi pada malam yang berbeza.
Tiket-tiket berharga dari RM30 hingga RM200 sudah pun mula dijual dan sebarang pertanyaan bolehlah kunjungi Box Office, Istana Budaya atau hubungi talian 03-4025 5558.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: