Monday, March 2, 2009

Depan Mata: Jaga sensitiviti


DRAMA Spa Q 2 yang disiarkan di TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang menjadi buah mulut orang sekarang gara-gara penampilan pelakonnya menjolok mata hingga membuatkan ramai penonton yang kurang senang.

Antara yang menjadi mangsa kritikan mereka, penampilan Jasmin Hamid, Zizie Ezette dan Azizah Mahzan yang disifatkan tidak sesuai dengan budaya orang Melayu. Walaupun hakikat sebenar ramai berpakaian seksi di luar sana tetapi sebagai penerbit dan pengarah, kita harus paparkan sesuatu yang baik kepada penonton.

Paling teruk menjadi sasaran ialah Azizah Mahzan kerana penampilannya sebagai Marlia dalam siri itu tidak sesuai usianya lewat 40-an.

Antaranya baju pengantin mendedahkan dada yang dipakai Marlia ketika babak majlis perkahwinannya. Mungkin kerana marah, ada pihak menyebarkan gambar-gambar Azizah ketika di luar lokasi drama di internet kini.

Dalam hal ini, pelakon dan pengarah mempunyai peranan penting. Perlu sedar, mereka berlakon dalam drama Melayu yang disiarkan di televisyen yang ditonton majoriti orang Melayu.

Umumnya sebagai orang Melayu, memang kurang senang melihat penampilan dedah-dedah hingga dikatakan menyakitkan mata memandang.

Kata orang, selain menghasilkan karya bagus untuk menambat hati penonton, waktu sama pengarah punya peranan sosial untuk paparkan perkara baik dalam karyanya. Jangan bimbang dikata kolot kalau pelakon tampil sopan.

Bukanlah kalau dikata sopan itu pelakonnya mesti pakai baju kurung atau bertudung. Jangan terlalu menyempitkan maksud sopan itu.

Paling mudah, biar tidak nampak belahan dada dengan baju luas di dada atau nampak bentuk dada yang montok dengan baju sendat serta tidak mendedahkan paha yang gebu.

Bercakap mengenai Spa Q 2, saya lihat musim kedua ini agak berbeza bukan saja membariskan ramai pelakon hebat dan popular malah budayanya juga agak berbeza hingga pelakon wanitanya dipaparkan bermekap tebal dan pakaian seksi.



Apakah kerana drama yang diadaptasi dari drama latin ini maka penampilan pelakonnya juga seperti pelakon Mexico?

Kita perlu sesuaikannya dengan budaya negara kita dan paling penting peka dengan sensitiviti masyarakat kita yang memang pantang dan tidak selesa melihat pelakon berpakaian keterlaluan.

Tapi saya tertarik dengan watak Qistina yang dilakonkan Norish Karman. Sebagai janda dan wanita yang mengusahakan bisnes spa dan kecantikan, sememangnya penampilan paling dititikberatkan Qistina.

Namun apa yang membanggakan, penampilan Qistina tidak keterlaluan malah tetap bergaya dan paling penting sesuai dengan statusnya sebagai ibu dua anak yang meningkat remaja.

Walaupun realitinya ada masyarakat Melayu bergelar ibu tunggal berusia 40-an mula berubah penampilan hingga ada yang keliru kerana sama seperti penampilan anak gadisnya yang meningkat remaja.

Dalam realitinya, ramai wanita yang sedar diri yang tampil sopan dan waktu sama tetap anggun. Ambillah realiti yang baik bukannya negatif kerana ia bukan saja tidak sejajar dengan tuntutan agama malah masyarakat kita keseluruhannya.

Kalau dilihat penampilan Norish, sebagai janda dan ibu tiga anak, pelakon dari Singapura ini sememangnya menjaga penampilan bukan saja di televisyen malah dalam kehidupan seharian.

Saya juga tabik dengan pelakon wanita seperti Eja, Maya Karin, Rita Rudaini, Sari Yanti dan Siti Fazurina manakala pelakon senior, Rozie Hashim dan Rosnah Johari.

Apapun, Khamis lalu saya tidak mahu melepaskan peluang hadir di majlis pelancaran drama terbaru untuk slot Samarinda, Yusuff. Saya mula tertarik dengan drama ini ketika menyaksikan promonya di majlis Media Prima Screening 2009 kerana dipaparkan seperti ala-ala filem popular Indonesia, Ayat-ayat Cinta.

Nampaknya bahang panas Spa Q yang kini menjadi bualan ramai bakal disejukkan dengan Yusuff yang akan bersiap setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam bermula 4 Mac ini.

Drama arahan Hitler Zami ini berkisar kepada Yusuff lakonan pelakon muda kacak, Ashraf Muslim yang melalui keperitan hidup apabila terpisah daripada ibu bapanya sejak kecil disebabkan pakatan saudara dan ibu tirinya yang dengki dengan kehidupannya.

Lebih menarik, cerita dalam drama ini diambil dari kisah Nabi Yusuf tetapi kerana bapa Yusuff, Yaakob berkahwin dengan dua wanita, Rubiah dan Suhana. Melalui perkahwinan dengan Suhana, mereka mendapat Yusuff yang mempunyai keistimewaan sejak kecil sebagai kanak-kanak bijak apabila boleh membaca dan mengaji pada usia dua tahun.

Saya cuba bertanya Hitler, pengarah kecil-kecil cili api yang kini laris dan mendapat kepercayaan stesen TV mengenai pendiriannya soal penampilan pelakon. Apakah dia menggalakkan mereka tampil seksi untuk menarik penonton.

Akui anak pelawak dan pelakon dihormati, Zami Ismail ini, dia sememangnya lebih sukakan penampilan sopan tanpa menimbulkan rasa kurang senang penonton.

Bagaimanapun katanya, dalam keadaan tertentu dia tidak dapat mengelakkan perkara itu. Contohnya dalam Yusuff ada babak Yusuff lakonan Ashraf Muslim digoda ibu tirinya lakonan Betty Banafe ketika di bilik tidur pada waktu malam. Betty digambarkan memakai baju tidur dan cuba menggoda Yusuff dengan belaian manja.

Yang sopan dan baik itu semenangnya manis mata memandang manakala amalan baik itu kalau dipaparkan boleh menjadi dakwah kecil pengarah untuk penonton kita.

Paling penting, jangan agungkan dan banggakan mereka yang suka tampil seksi supaya ia tidak bertambah teruk dan membimbangkan dalam masyarakat kita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: