AJAL dan maut semuanya di tangan Tuhan. Kita tinggal ini hendaklah reda dengan ketentuan Yang Maha Esa tapi pada waktu yang sama, kita perlulah bersedia menghadapi kematian.
Setiap yang bernyawa satu hari nanti pasti akan ke sana juga. Malah setiap hari Cik Normah sentiasa ingat mengenai mati untuk bermuhasabah diri. Maklumlah ada kalanya Cik Normah terleka dengan duniawi. Janganlah ingat ruangan Cik Normah ini hanya untuk menghentam orang semata-mata, tetapi Cik Normah juga seimbangkan dengan cerita yang menginsafkan.
Bercerita mengenai kematian ini, Cik Normah sebenarnya nak mengucapkan takziah kepada Azean Irdawaty yang lebih mesra dengan nama Kak Yan atas pemergian adik bongsu kesayangannya, Balkis ke Rahmatullah kelmarin.
Cik Normah mengirimkan berita itu kepada bos Cik Normah menerusi SMS. Tapi Cik Normah tahu Kak Yan bukanlah hendak meminta adiknya meninggal dunia itu dihebahkan. Cuma sekadar memaklumkan saja.
Kata Kak Yan, Balkis meninggal dunia kerana sakit jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Apa yang boleh Cik Normah katakan kepada Kak Yan bersabar sajalah dengan dugaan ini. Sudahlah dirinya tidak sihat, tup tup ditimpa pula dengan kisah yang menyedihkan ini. Apatah lagi sejak kebelakangan ini banyak betul cerita yang tidak betul mengenai Kak Yan disebarkan. Termasuklah khabar angin mengatakan Kak Yan meninggal dunia pada 31 Januari lalu.
Sabar sajalah Kak Yan. Buat Kak Yan, Cik Normah doakan semoga menghadapi hari-hari mendatang dengan penuh tabah. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada insan yang lebih dulu menyahut panggilan Ilahi.
Cik Normah dan semua kawan-kawan juga mengucapkan salam takziah kepada rakan setugas yang kehilangan orang tersayang apabila abangnya meninggal dunia kerana barah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: