Thursday, March 5, 2009

Dengarnya... Janganlah buat fitnah



Zamzarina Zambri

BERTALU-TALU mesej pesanan ringkas masuk dalam telefon Cik Normah bertanya siapa personaliti TV yang ditangkap khalwat dengan bosnya. Walaupun ruangan ini orang kata ruangan gosip, tapi Cik Normah tidak tulis sebarangan. Gosip Cik Normah bukan gosip macam orang tebar jala ikan. Apa pun cerita yang Cik Normah nak tulis di sini mesti ada sumber yang dipercayai.

Sebab itulah, apabila ada panggilan telefon daripada seorang pembaca bertanya betul ke personaliti yang dimaksudkan itu ialah Zamzarina Zambri, Cik Normah tidak berani nak terus mengesahkannya. Zamzarina ialah pembaca berita di RTM selain pernah menjadi pengacara beberapa program TV terbitan stesen penyiaran kerajaan.

Disebabkan kurang pasti dengan kesahihan cerita itu, Cik Normah buat tak tau saja. Maklumlah perkara seperti ini bukan boleh dibuat main-main. Ia cerita mengaibkan. Tapi, semakin Cik Normah buat tak tahu, semakin ramai pula yang bertanya.


Cik Normah cuba juga selidik dengan beberapa kenalan di Angkasapuri tetapi semuanya mengunci mulut. Semuanya takut nak cakap atas sebab Cik Normah ini orang surat akhbar. Mungkin takut apa yang mereka cakap nanti disiarkan pula.

Cik Normah sebenarnya memang berapa kenal sangat dengan Zamzarina atau Zam walaupun pernah juga beberapa kali melihatnya di kaca TV. Akhirnya Cik Normah bertanya dengan rakan sekerja yang Cik Normah tahu memang agak rapat dengan Zam.

Kebetulan pula Zam memang ada menghubungi kawan Cik Normah ini. Menurutnya, Zam sepanjang minggu lalu berada di London iaitu ketika banyak pihak di sini sibuk mengatakan dia ditangkap khalwat. Dia di sana kerana mengikut rombongan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mempromosikan produk kraftangan Malaysia di Harrods, London.

Dia hanya balik pada Ahad lalu bersama rakan setugasnya dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama). Cerita kawan Cik Normah lagi, Zam dikatakan kecewa, malu, marah dan sedih kerana cerita itu benar-benar menjejaskan reputasi dan maruahnya. Katanya, orang yang menyebarkan cerita itu jelas hendak memalukannya. Cerita itu jelas tidak betul apabila ada yang kata Zam ditangkap khalwat di Port Dickson. Lepas itu ada yang cakap di satu tempat di Selangor.

Cik Normah rasa kepada pihak yang menyebarkan cerita ini, janganlah main serkap jarang. Ini namanya nak menganiaya orang. Bayangkan kalau diri sendiri difitnah macam itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: