| MENJADI impian pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga mahu menimang cahaya mata. Bagi penyanyi Sharifah Hadijah Wan Moss atau Deja Moss, 36, kehidupan berkeluarga yang ditempuh sejak bergelar isteri pada 30 Ogos tahun lalu banyak mengajar dirinya supaya tabah menghadapi dugaan hidup. |
Sebelum ini, Deja berhadapan cabaran getir apabila disahkan doktor dia mengandung di luar rahim hingga kandungannya yang berusia enam minggu terpaksa dibuang menerusi pembedahan.
Ketika itu, doktor menasihatinya menjalani pembedahan demi memastikan kesihatan tidak terjejas.
Biarpun sedih kehilangan zuriat pertama hasil perkongsian hidup dengan Azfendy Azzuddin, Deja tetap bersyukur kerana mendapat sokongan suami.
Katanya, suami sentiasa memberi sokongan dan semangat kepadanya untuk meneruskan kehidupan. Selepas enam bulan berkahwin, mereka makin bahagia menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri.
Malah Deja, 36, yang kelihatan bertambah sihat tidak mahu duduk diam di rumah sebaliknya memenuhi masa dengan aktiviti seni.
“Doktor memberi nasihat pada saya agar berehat hingga empat bulan sebelum bersedia kerja semula. Bagaimanapun, apabila saya rasa bertambah sihat, saya yakin untuk kembali bekerja. Buat masa ini, kesihatan saya makin baik.
“Doktor juga mengatakan saya masih mempunyai berpeluang mengandung lagi selepas habis tempoh empat bulan saya berehat. Dalam pada itu, saya juga kerap berjumpa doktor sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk mendapatkan pemeriksaan lanjutan.
“Bagi saya, apa yang saya lalui ini adalah ujian paling besar yang perlu saya tempuh dengan tabah dan banyak bersabar. Seperti pasangan suami isteri lain, saya juga masih berkeinginan untuk menimang cahaya mata.
“Walaupun satu saluran tiub fallopia di sebelah kiri sudah dibuang, kami masih berharap saluran tiub satu lagi memberi peluang kepada kami untuk mendapatkan anak,” katanya.
| |
Mengenai aktiviti seni terbaru, penyanyi yang popular dengan lagu Asmara Ini menyatakan dia kini sibuk dengan uji bakat Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) iaitu pertandingan mencungkil bakat peserta dalam bidang nyanyian, muzik dan peragaan yang diadakan setiap tahun di Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat.
| |
Katanya, dia terbabit sebagai juri yang dipertanggungjawabkan menilai bakat peserta yang layak untuk diserap menyertai kontinjen negara tahun ini. Uji bakat itu diadakan menerusi sesi jelajah ke seluruh negara bermula 14 Februari lalu di City Square, Johor Bahru diikuti Queensbay Mall, Pulau Pinang (21 dan 22 Februari), Berjaya Times Square Kuala Lumpur (28 Februari dan 1 Mac), Eastcoast Mall Kuantan, The Spring Kuching Sarawak (7 dan 8 Mac) serta One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah (14 dan 15 Mac).
“Pengalaman menjadi juri selama tiga musim untuk uji bakat Akademi Fantasia sejak 2006 memang berbeza dengan tanggungjawab menjadi juri WCOPA. Kali ini saya bersama beberapa selebriti lain seperti Hans Isaac, Tengku Norazura Tengku Awang (Tengku Azura) dan Dayang Mariana melaksanakan tugas sebagai juri.
“Masing-masing mempunyai skop penjurian berbeza. Saya sendiri memberi fokus pada aspek nyanyian manakala Tengku Azura (peragaan) manakala Dayang Mariana (tarian). Untuk pertandingan ini, kami memilih peserta yang menunjukkan bakat yang boleh dipertandingkan di peringkat antarabangsa.
“Kriteria pemilihan peserta memang tinggi namun, juri dari bidang lain juga boleh memberi komen sebelum mencapai kata sepakat sama ada peserta itu layak atau tidak. Dalam setiap uji bakat, lima juri terbabit merangkumi bidang nyanyian, peragaan, lakonan, muzik dan tarian.
“Memang uji bakat ini membuatkan jadual seni saya makin sibuk dan agak meletihkan apabila diadakan di destinasi luar Kuala Lumpur. Sebelum ini, suami saya juga ikut menemani saya ketika uji bakat di Pulau Pinang,” katanya.
Deja mengakui, pengalaman ditimba sepanjang mengikuti uji bakat WCOPA kali ini menyeronokkan apatah lagi dia pernah menang tiga pingat ketika menyertai pertandingan yang sama tiga tahun lalu.
Untuk karier nyanyian, katanya peluang mengadakan persembahan masih ada tetapi kegawatan ekonomi yang kini melanda seluruh dunia turut memberi kesan apabila bayaran untuk persembahan terpaksa dikurangkan.
“Kegawatan ekonomi sebenarnya memberi kesan kepada semua termasuk artis untuk cari makan. Dulu, ketika bujang pendapatan banyak bergantung sendiri tetapi bila sudah berkeluarga, suami banyak membantu. Buat masa ini, fokus saya pada nyanyian agak berkurangan kerana keluarga menjadi keutamaan.
“Sebagai isteri, saya harus patuh pada cakap suami. Jika ada kerja di luar Kuala Lumpur hingga memakan masa yang panjang, saya perlu berbincang dengan suami. Namun, tidak bermakna saya ketepikan bidang nyanyian.
“Saya sudah rakamkan single terbaru tetapi ditangguhkan dulu hingga masa yang sesuai untuk saya perkenalkan di pasaran. Mungkin saya pilih untuk lancarkan single ini pada Ogos dan ia bergantung pada kesesuaian ketika itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: