Friday, March 6, 2009

Bahagia dimanja suami...Dynas Mokhtar


SEPERTI bakal ibu lain, model dan pelakon jelita Dynas Mokhtar juga teruja menantikan detik kelahiran cahaya mata sulungnya pada 4 Julai nanti.

Malah, kata Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 26, fokusnya dan suami, Mohd Hafizy Hafiz, 37, juga kepada penjagaan kesihatan anak dalam kandungannya yang kini berusia lima bulan serta persiapan untuk menyambut kehadiran orang baru dalam hidup mereka.

"Jika nak diikutkan, saya sudah lama mengimpikan untuk mempunyai anak sendiri kerana selama ini kasih sayang saya banyak tercurah kepada anak saudara (sebelah suami) Tia Caliana, 5 tahun. Tia memang rapat dengan saya sejak kecil dan apabila ada kelapangan, saya sering menemaninya bermain pada waktu petang. Saya juga adalah mak cik kesayangannya.

"Justeru, apabila disahkan mengandung, saya sekeluarga menyambut berita itu dengan gembira. Maklumlah, selain saya, kakak, Evelyne juga mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan anaknya. Ibu yang paling gembira kerana dia akan mendapat dua cucu sekali gus tahun ini," katanya.

Lebih bermakna, kata Dynas, hubungannya suami isteri semakin erat sejak dia disahkan mengandung.

"Saya bertuah kerana mendapat suami yang penyayang dan sangat mengambil berat mengenai kesihatan saya dan anak dalam kandungan sejak awal kehamilan lagi. Sibuk macam mana sekalipun, dia tetap menghubungi saya untuk bertanya khabar. Saya cukup bahagia kerana amat dimanjakan suami.

"Jika sebelum ini, suami sering bekerja di luar daerah, kini, apabila kandungan saya semakin membesar, dia mula memberi tumpuan kepada saya sepenuhnya. Setiap keinginan saya sedaya upaya dia memenuhinya. Cakaplah nak makan apa saja, semuanya akan diusahakannya," katanya. Bagi pelakon yang menempa nama menerusi drama bersiri Susuk ini, dia tidak kisah jantina anak yang bakal dilahirkannya nanti.

"Sebenarnya, suami inginkan anak lelaki tetapi hasil pemeriksaan kandungan di Hospital Pantai, Bangsar, doktor memberitahu kami bakal menimang cahaya mata perempuan.

"Setiap kali suami cuba membelek baju bayi lelaki, saya cepat-cepat mengingatkannya, kami akan dapat anak perempuan. Kini, suami sudah boleh terima kenyataan yang kami akan dapat bayi perempuan.

"Apa yang penting, bagi saya, bayi yang dilahirkan nanti sihat dan sempurna. Setakat ini, hasil pemeriksaan bulanan doktor juga memberitahu kandungan saya sihat dan tidak ada sebarang masalah.



"Pada masa sama, suami sudah ada nama untuk anak kami nanti tetapi saya perlu rahsiakannya dahulu buat masa ini," katanya.

Berbanding pada awal kehamilan dulu iaitu ketika tempoh kandungannya berusia tiga hingga empat bulan, Dynas mengakui dia malas keluar rumah kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

"Selain 'morning sickness', saya juga malas nak jumpa orang termasuk buat sesi fotografi ketika itu. Kini, ia berbeza apabila kandungan saya berusia lima bulan kerana saya berasa lebih sihat dan boleh keluar rumah pergi buat rambut atau menjayakan mana-mana majlis anjuran pihak tertentu," katanya.

Mengenai persiapan barangan dan kelengkapan bayi pula, Dynas berkata, dia juga tidak ghairah beli baju bayi lagi buat masa ini.

"Menurut ibu, saya perlu beli baju bayi apabila hampir tarikh nak bersalin. Saya juga memastikan makanan berkhasiat dengan mengambil vitamin, banyak makan buah-buahan seperti epal dan limau oren. Saya juga mengelak daripada makan kicap kerana bimbang kulit anak saya bertukar berwarna gelap nanti.

"Selain keluarga, rakan kongsi perniagaan saya, pelakon dan pengacara Awal Ashaari (Awal) juga sering membelikan saya air kacang soya dan meletakkannya di butik kami tetapi saya pula sebaliknya tidak suka minuman itu," katanya.

Dynas ditemui ketika sesi ramah mesra bersama pelakon drama bersiri Slot Lagenda TV3, Julia Juli di Gombak disini baru-baru ini.

Kata Dynas yang juga pelakon utama Julia Juli, drama itu adalah lakonan terakhirnya sebelum berehat buat sementara waktu untuk melahirkan anak sulungnya itu.

"Saya disahkan mengandung ketika penggambaran drama Julia Juli arahan Adam Hamid dan Jet Li yang berakhir bulan lalu. Selain drama itu, saya juga terbabit dengan penggambaran program kecantikan dan kesihatan, Suara Pesona," katanya.

Kini, kata Dynas, dia banyak meluangkan masa untuk butik D&A Celebrity Style di Hartamas yang diusahakan bersama Awal, sejak Ogos tahun lalu.

"Kalau tidak pergi ke butik pun, saya akan mengawasi perjalanan butik kami dari rumah saja dengan melayari Internet setiap hari untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa. Apabila saya dan Awal sibuk kami juga mempunyai pembantu yang menjaga butik ini.

"Sepanjang enam bulan perniagaan ini beroperasi, ia juga mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya juga mencari stok baju yang lembut dan sesuai digayakan wanita yang mengandung untuk dijual di butik ini sesuai dengan keadaan saya yang berbadan dua ini.

"Sepanjang pemerhatian saya, baju mengandung yang dijual di pasaran juga mahal tapi tidak cantik untuk digayakan.

"Justeru, baju yang dijual di butik saya ini alternatif lain untuk wanita mengandung berusia awal 20-an yang tercari-cari baju sesuai menepati cita rasa mereka. Ia juga boleh dibeli secara online, laman web D&A Celebrity Style: www.dna.com.my." katanya.



>Profil

NAMA SEBENAR: Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar

TARIKH LAHIR: 8 Mac 1983

ASAL: Petaling Jaya, Selangor

PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa daripada Universiti Teknologi Mara

(UiTM), Shah Alam.

PENCAPAIAN: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007.

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Mohd Hafizy Hafiz, 37, (Berkahwin pada 15 Mac 2008).

ANTARA DRAMA: Susuk, Gerak Khas, Di Bawah Ketiak Isteri, Ezora, Ai Di Beijing.

FILEM: Impak Maksima, Haru Biru, Kayangan, Apa Kata Hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: