![]() MOHD ARZMY (kanan) mengucapkan tahniah kepada pemenang pertandingan 'Thirst For Passion The Music Executive' Vernon David (kiri) pada 2005. |
Mohd Arzmy banyak menaikkan nama besar dalam dunia muzik tanah air sepanjang bersama EMI Malaysia
TENGAH malam tanggal 5 Mac lalu, industri hiburan dikejutkan dengan berita pemergian orang kuat syarikat rakaman EMI, Mohd Arzmy Mohamad. Allahyarham meninggal dunia kerana serangan jantung di Hotel Flamingo sewaktu sedang bermesyuarat mengenai beberapa projek album dan persembahan sebelum diusung ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Allahyarham berasal dari Pulau Pinang meninggalkan tiga orang anak dan baru saja menyambut ulang tahun ke-55 pada 25 Februari lalu.
Difahamkan serangan itu adalah kali kedua dialaminya selepas 14 Februari lalu dan dimasukkan ke HUKM. Bagaimanapun ketika itu, Allahyarham meminta kebenaran untuk keluar awal dari hospital kerana perlu melunaskan persiapan Majlis Pelancaran Bulan Dakwah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 19 Februari lalu.
Nama Mohd Arzmy mungkin tidak dikenali sangat dalam dunia hiburan kerana beliau banyak melakukan kerja di belakang tabir. Bagaimanapun, dikalangan rakan artis, wartawan hiburan dan kakitangan kakitangan perhubungan rakaman, namanya bukan asing lagi. Mesra dengan panggilan Che Mi, Allahyarham mula bertugas sebagai Artis & Reportoire di EMI sekitar tahun 1970-an dan beberapa kali meninggalkan syarikat rakaman ini dan kembali semula bertugas di tempat yang sama. Allahyarham cukup mesra dengan panggilan Che Mie.
Sepanjang bersama EMI, Allahyarham pernah terbabit dalam menguruskan promosi, pengedaran dan penerbitan album selain memperkenalkan penyanyi nama besar tanah air yang dikenali sehingga sekarang.
![]() |
| Allahyarham Mohd Arzmy |
Antaranya ialah Datuk Sharifah Aini, Anita Sarawak, Allahyarham Sudirman, Ella, Fauziah Latiff, Rabbani, kumpulan KRU, Cromok,. Beliau pernah meninggalkan EMI pada tahun 2001 untuk menyertai KRU Records. Bagaimanapun, pada tahun 2004, Army kembali kepada EMI. Sejak itu, Allahyarham terus gigih mengembangkan dan memasarkan album penyanyi tempatan terutama yang bercorak keagamaan dan kerohanian.
Selepas mendapat sokongan daripada majikannya, Allahyarham mengedarkan cakera padat (CD) koleksi qari dan qariah tempatan yang pernah menjadi juara Musabaqah Al-Quran Antarabangsa. Di atas usahanya jugalah, EMI mengedarkan album keagamaan yang dinyanyikan oleh Yusof Islam
Menurut anak sulung Allahyarham, Al Azan Mohd Arzmy, mereka sekeluarga reda dengan kehilangan ayahanda.
Katanya, selepas ini segala tanggung jawab akan diambil alihnya.
“Apa yang saya dapat katakan, bapa (Allahyarham) sangat gembira dengan pencapaian kerja dan kebahagiaan keluarganya. Bapa juga yang paling banyak menyokong saya daripada belakang,” katanya yang kali terakhir bertemu Allahyarham pada 4 Mac lalu.
Sementara itu, Nawar Deress yang pernah berkhidmat sebagai Pengurus Promosi dan Iklan selama 10 tahun di EMI menyifatkan Allahyarham penuh dengan sifat kebapaan.
Menurutnya, dia pernah berbual dengan isteri Allahyarham yang kemudian ada memberitahu bahawa Che Mie teringin untuk pergi ke tempat yang lebih tenang.
“Mungkin apa yang disebut Allahyarham memberi maksud tersirat di sebalik pemergiannya. Sepanjang mengenali Allahyarham, dia seorang yang tegas, gila-gila dan kreatif. Malahan, ideanya sesekali akan menjadi bernas dan menjadi ikutan. Kadang-kadang, idea yang diluahkannya langsung tak pernah terfikir dek akal kami.
“Banyak kenangan yang saya kongsi bersama Allahyarham. Selalunya, kalau di bilik mesyuarat, staf EMI lain pasti berperang mulut dengannya. Pada akhirnya, kami akan mendapat hasil dan kata sepakat. Selepas mengikuti kursus pada 2002, hubungan saya dengan Allahyarham lebih rapat. Ibaratnya hubungan kami dengannya seperti bapa dan anak,” kata Nawar yang kini bertugas di unit perhubungan media di 8TV.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: