DUNGUN - Sebuah telaga dipercayai peninggalan tentera Jepun semasa era Perang Dunia Kedua ditemui di atas bukit berhampiran Sungai Pimpin, di sini, baru-baru ini.
Penemuan telaga tinggalan sejarah itu hasil ekspedisi Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun.
Setiausaha kehormatnya, Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata, kawasan ekspedisi dipercayai pernah menjadi kubu tentera Jepun ketika menjajah Tanah Melayu.
Menurutnya, tiga binaan konkrit berbentuk segi empat berukuran 5 meter panjang dan 4.5 meter lebar ditemui dipercayai digunakan untuk menakung air.
“Telaga dan binaan tersebut dibina di kawasan berbukit supaya ia mudah dipantau dan sukar dijejaki pihak musuh yang berkemungkinan akan meracun sumber air berkenaan.
“Berdasarkan kajian kami, dan melalui sumber pencarian sejarah pendudukan Jepun di Tanah Melayu, hanya terdapat dua telaga jepun di negara ini iaitu di Dungun serta Kuala Terengganu.
“Reka bentuk telaga dan binaan seumpama itu turut terdapat di Filipina dan Indonesia hasil peninggalan tentera Jepun,” katanya.
Beliau berkata, telaga berkenaan amat tinggi nilainya dan harus dipertahankan.
“Telaga ini boleh dikomersialkan sebagai satu peninggalan sejarah dan aset pelancongan.
“Oleh itu, pihak berwajib perlu mengambil tindakan sewajarnya i,” katanya.