PORT DICKSON - Dalam usaha melahirkan ramai pelapis yang mahir dalam aktiviti pengurusan dan pengendalian jenazah, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Air Meleleh Kampung Gelam menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah.
Program yang turut mendapat kerjasama daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT)   Kampung Air Meleleh Kampung Gelam dan Surau AL-Khariah itu, disertai seramai 50 orang penduduk kampung berusia antara 15 ke 50 tahun.
Pengerusi JKKK, Osman Suhaimi berkata, Kampung Air Meleleh Kampung Gelam terletak di kariah Masjid Jamek Port Dickson dan kebiasaannya, urusan membabitkan jenazah akan dikendalikan oleh ahli jawatankuasa di sana.
Menurutnya, sekurang-kurangnya melalui program ini, dapat melahirkan lebih ramai penduduk yang faham dan mahir dalam pengurusan jenazah dan boleh bertindak membantu pihak masjid apabila berlaku kematian terutamanya yang membabitkan penduduk di sini.
“Menguruskan jenazah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan malah ia merupakan fardu kifayah kepada umat Islam,” katanya.
Osman berkata, program ini turut mendapat penglibatan daripada anak muda dan penyertaan daripada golongan itu memang sangat dialu-alukan.
Dalam program sama, peserta dan penduduk kampung menerima edaran kit pencegahan denggi.