Yusof bersama ibu mertuanya, Rokiah Ibrahim bersama menjemur ikan kering.
TUMPAT - Ikan masin atau ikan kering simbol makanan golongan marhaen, namun jika harganya mencecah RM65 sekilogram, ia bukan lagi hidangan ketika waktu poket kering.
Itu penangan ikan gelama masin, hanya muncul sekali setahun.
Bagi penduduk di pesisir pantai, musim ikan gelama paling ditunggu-tunggu kerana mampu meraih pendapatan sampingan.
Di perairan Sungai Kelantan terutama bagi nelayan di Pulau Gorek, Pulau Pantai Suri dan Kok Majid, mereka mula turun ke laut menangkap ikan gelama setiap kali tibanya musim ikan itu.
Ikan gelama dikatakan akan muncul sekitar bulan Mac dan April dan perairan Sungai Kelantan di sekitar Kok Majid dikenal pasti antara lokasi spesies ikan ini akan muncul.
Selain di muka kuala, perairan Sungai Kelantan sekitar Kok Majid akan menjadi tumpuan bot-bot kaki pancing bagi menangkap ikan gelama, malah ia bagaikan pesta setiap kali tibanya bulan Mac dan April ini.
Perusahaan turun temurun
Hamparan ikan kering yang dijemur di atas para menjadi pemandangan biasa di beberapa pulau di perairan Sungai Kelantan sepanjang musim ikan gelama.
Bagi Zaitun Junoh, 32, keluarganya meraih rezeki melalui ikan gelama masin sejak 40 tahun lalu bermula daripada ayahnya.
“Selepas ayah saya meninggal dunia, kami adik beradik mengambil alih perusahaan ini dan menjadi punca pendapatan sampingan kami sekeluarga.
“Ini adalah perusahaan warisan keluarga kami yang diusahakan hanya dua bulan dalam setahun, pada bulan Mac dan April saja,” katanya.
Menurutnya, keluarganya mampu meraih pendapatan RM3,000 hasil jualan ikan gelama masin yang mendapat permintaan tinggi di negeri ini.
Malah katanya, ikan gelama masin sudah sampai ke Makkah apabila dijadikan bekalan bagi mereka yang mengerjakan umrah dan haji.
“Saya tak sempat nak jual ke kedai, peraih yang akan datang ambil di rumah. Harganya RM65 sekilogram,” katanya yang menetap di Pulau Gorek.
500 kilogram bekalan ikan sehari
Abang ipar Zaitun, Yusof Mat Amin, 62, berkata, dia bersama dua anaknya akan turun ke laut untuk menangkap ikan gelama.
Menurutnya, biasanya setiap hari dia akan turun ke laut selepas Subuh dan akan pulang sebelum masuknya waktu solat Zohor.
“Selalunya dapatlah dalam 500 kilogram sehari dan proses membuat ikan kering itu pula akan dilakukan isteri saya dan Zaitun serta ibu mertua saya,” katanya.
Katanya, ikan gelama masin lebih mahal daripada ikan gelama segar kerana ia telah melalui proses menyiang, merendam air garam dan perlu dijemur selama dua hari.
Yusof berkata, musim panas ini membawa rezeki lebih kepada keluarganya kerana ikan cepat kering dan bekalan ikan di laut agak banyak berbanding tahun lalu.
Biasanya ikan gelama segar dijual sekitar RM12 hingga RM15 sekilogram bergantung pada saiz ikan, tetapi sangat bernilai apabila dijadikan ikan kering.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: