Monday, March 28, 2016

Umpama permata dalam belukar



Umpama permata dalam belukar
Sekolah Kebangsaan Pak Roman pernah melalui zaman kegemilangan sekitar tahun 1978 hingga 1988. Gambar kecil: Hashim.
KECERMELANGAN Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Roman dalam bidang akademik dan kokurikulum sekitar 1978 hingga 1988 bukan hanya diakui di peringkat tempatan, malah menarik perhatian negara luar untuk datang melawat.
Sekalipun terletak di kawasan kampung dan terpaksa melalui jalan sempit, ada sahaja pelawat datang hingga terpaksa diambil bergilir-gilir menggunakan kereta dan motosikal dari jalan utama di Kemuning memandangkan bas tidak melalui jalan kampung itu.
Kecemerlangan dalam pelbagai bidang bukan hanya menjadi kebanggaan sekolah tetapi turut dikongsi penduduk kampung yang sama-sama memainkan peranan.
Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Pak Roman, Hashim Ishak, 67, berkata, sekolah itu digelar ‘Permata Dalam Belukar’ memandangkan terletak di kawasan kampung, namun mampu mengukir kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang.
“Ketika itu, kami bukan hanya cemerlang dalam akademik tetapi juga bidang kokurikulum dan keceriaan sekolah.
“Saban hari, guru-guru dan ibu bapa meluangkan masa bersama-sama bagi menceriakan sekolah dan kejayaan itu cukup bermakna dan menjadi kenangan manis sehingga kini,” katanya.
Hashim berkata, kenangan hampir 30 tahun itu cukup indah untuk dikenang, malah  menjadi sebutan sekalipun telah lama berlalu.
Katanya, kejayaan itu mengetengahkan nama Pak Roman dikenali ramai sekalipun bunyinya agak unik hingga membuatkan ramai yang tertanya apakah maksudnya.
Kampung berusia 200 tahun
Berkongsi cerita asal-usul kampung itu, Hashim yang merupakan anak tempatan berkata, kampung terletak berdekatan Kemuning itu dikelilingi beberapa kampung termasuk Kampung Limau Hantu, Chanor dan Lubuk Bunut.
Menurutnya, kawasan kampung itu dahulunya mempunyai bendang padi yang luas melibatkan penduduk kampung dan orang luar.
Jelasnya, perkataan roman sebenarnya merujuk kepada tangkai padi yang banyak terdapat di kawasan itu selepas musim menuai.
“Orang dulu-dulu panggil tangkai padi roman, tapi ramai orang kini tak tahu maknanya, jadi macam-macam andaian dibuat. Pak pula merujuk kepada panggilan bapa. Kebanyakan orang dulu panggil ayah mereka pak.
“Kampung ini dipercayai dibuka lebih 200 tahun lalu yang mana kebanyakan penduduk mengusahakan tanaman padi sebagai sumber pendapatan utama,” katanya.
Turut berkongsi cerita, penduduk, Shapei Jusoh, 73, yang menggambarkan roman akan memenuhi sawah padi setiap kali musim menuai dan akan dibakar dan abunya dijadikan baja.
Katanya, keadaan tersebut jauh berbeza pada hari ini apabila padi dituai menggunakan jentera dan padi diterima dalam keadaan bersih serta siap untuk dijual.
Tambahnya, jika dahulu, kawasan kampung dipenuhi sawah padi, kini ramai penduduk mengusahakan getah dan bekerja sebagai penoreh.
“Sekarang penduduk pun dah tak ramai macam dulu, ada kira-kira 82 rumah dan kebanyakannya didiami warga emas. Anak-anak dah ramai berhijrah ke kawasan lain mencari rezeki.
“Suasananya tak meriah macam dulu, budak-budak sekolah pun kurang. Murid yang ada tak sampai 150 orang,” katanya.
Shapei yang lebih mesra disapa Pak Su turut berharap, pihak berwajib membaiki jalan dari Kampung Pak Roman ke Kampung Gosong bagi menyediakan kemudahan kepada penduduk berulang alik.
Katanya, jika jalan tersebut dibaiki, penduduk Kampung Gosong dapat menghantar anak-anak ke sekolah ini menggunakan jalan pintas.
“Bila jalan rosak, mereka tak hantar anak-anak ke sekolah ini sebab laluan utama agak jauh. Jika menggunakan jalan pintas ini, lebih menjimatkan masa dan mudah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: