Tuesday, March 22, 2016

"Tidak Sentuh Wanita Bukan Hanya Dalam Drama" - Saharul Ridzwan



Saharul Ridzwan akan terus berpegang kepada prinsipnya sebagai pelakon.
PETALING JAYA: Pelakon Saharul Ridzwan memberitahu prinsip tidak berpegangan dan berpelukan dengan wanita yang diaplikasikan ketika menjalani penggambaran turut dilakukannnya ketika dalam kehidupan seharian.

Saharul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 27, berkata, dia sentiasa mencuba untuk tampil sebagai seorang insan lebih baik yang boleh menjadi contoh kepada masyarakat terutama peminat-peminatnya.

"Saya buat perubahan itu secara berperingkat bermula dengan tidak mahu adegan dukung dan berpelukan, selepas itu saya cuba untuk bersentuhan secara berlapik.

"Saya tahu ramai orang pertikaikan apa yang saya lakukan ini sama ada saya amalkan ketika di luar penggambaran, saya akui kadang-kadang saya juga tersasul kerana saya bukan malaikat. Namun saya cuba buat yang terbaik dalam kehidupan realiti juga," ujarnya kepada mStar Online.

Saharul diminta mengulas apabila terdapat pihak yang mempertikaikan sama ada prinsip itu turut digunakan dalam kehidupan sehariannya.

Tambahnya, perkara baik sebegitu sewajarnya tidak perlu diberitahu kepada umum sebelum dilaksanakan terlebih dahulu.

Saharul bergandingan dengan Janna Nick dalam drama Kau Aku Kita.
"Saya patut buat dahulu perkara ini sebelum beritahu kepada umum dan biar orang yang menilainya," ujarnya.

Dalam pada itu, Sahahrul turut percaya disebabkan prinsip tersebut juga membuatkan dia memenangi anugerah Aktor Hero Pilihan menerusi drama Kau Aku Kita pada anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL2016), yang berlangsung malam Sabtu lalu.

Gandingannya Janna Nick memenangi kategori Aktres Pilihan.

Drama tersebut turut memenangi kategori utama iaitu Drama Pilihan, Pengarah Pilihan dan Skrip Pilihan.

Dalam pada itu Saharul berkata dia sedar ramai yang suka dan memberi sokongan kepadanya untuk terus berpegang kepada prinsip tersebut.

"Saya yakin ramai peminat yang suka apabila saya ikut prinsip tersebut dan kemenangan itu juga salah satunya disebabkan tindakan berkenaan.

"Walaupun ada juga pihak yang mempertikaikan sama ada saya mampu atau tidak untuk menjayakan watak tanpa bersentuhan dengan wanita, tapi saya dapat buktikan ia boleh dilakukan dengan bantuan pengarah dan teknik kamera," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: