Tuesday, March 29, 2016

Noorkumalasari Akan Berlakon Jika Waktu Solat Tidak Diganggu



Noorkumalasari terbuka untuk kembali berlakon sekiranya tawaran diterima tidak menggangu waktu solatnya.
PETALING JAYA: Pelakon Noorkumalasari belum memutuskan sebarang keputusan mengenai tawaran untuk membintangi sebuah drama yang mengangkat kisah ibu bapanya iaitu Datuk S Roomai Noor dan Datin Umi Kalthum dalam masa terdekat ini.
Pelakon yang pernah terkenal dengan filem-filem seperti Adik Manja, Esok Untuk Siapadan Mira Edora itu bagaimanapun mengakui ada menerima tawaran tersebut daripada pihak produksi.

"Benar ada tawaran seperti dilaporkan tetapi sehingga kini masih belum ada apa-apa pengesahan atau perbincangan mengenai perkara itu.

"Jadi tiada sebarang keputusan yang dibuat buat masa sekarang berhubung sama ada saya akan berlakon atau pun tidak," katanya.
Noorkumalasari mengulas mengenai laporan sebuah ruangan gosip akhbar pada Ahad yang mengatakan dia bersetuju untuk kembali berlakon dan menunjukkan kesungguhan membintangi drama mengenai hidup orang tuanya itu.

Dalam pada itu, Noorkumalasari berkata, dia terbuka untuk kembali berlakon sekiranya jadual penggambaran tidak menggangu waktu solatnya di masjid.

"Jika tawaran berkenaan menarik dan ia tidak menggangu waktu solat saya di masjid selain tidak memerlukan saya membuka hijab dan melanggar ajaran Islam yang lain, Insya-Allah saya terima," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: