PENDANG – Seorang pemuda sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai Leftenan Muda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) demi minatnya untuk berkhidmat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengorbanan (Penolong Penguasa Gred P41) Muhamad Sabri Mohd Latif, 29, yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan ternyata berbaloi apabila menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Khas (Pengurusan dan Profesionalisme) sempena majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Sekolah Kebangsaan Guar Kepayang, di sini, hari ini.
Muhamad Sabri menyatakan rasa bertuah kerana dipilih untuk menyertai kadet SPRM, sedangkan masih ramai pemohon yang berebut peluang itu kurang bernasib baik.
“Insya-ALLAH, saya jadikan anugerah ini sebagai pembakar serta pencetus semangat untuk saya jadi Pegawai SPRM yang lebih komited dan berdedikasi.
“Rahsia kejayaan saya ialah patuh dengan segala arahan dan banyak bertanya untuk mendapatkan lebih ilmu dan pengetahuan,” katanya kepada media, semalam.
Sementara itu, (Penguasa Gred P29) Asbi Munip, 26, turut mempunyai pengalaman yang hampir sama seperti Muhamad Sabri kerana sanggup meninggalkan Kursus Asas Latihan Sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi menyertai SPRM.
Dia yang berasal dari Sabah menerima Anugerah Khas (Pengurusan dan Profesionalisme) yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Malaysia, Datuk Sri Mohd Shukri Abdull.
“Saya ambil keputusan ini kerana melihat peluang kerjaya yang lebih besar jika menyertai SPRM. Ibu bapa juga selalu menyokong dan menggalakkan saya dalam hal ini,” katanya.