Sunday, March 27, 2016

Naik Pangkat & Calon Dua Anugerah, DJ Lin Anggap Rezeki Berganda 2016



DJ Lin harap rezeki tahun 2016.
PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin menganggap bagaikan mimpi menjadi kenyataan apabila dia
tersenarai dalam pencalonan akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-29(ABPBH29) yang diumumkan pada Rabu lalu.

Selain anugerah itu, Lin juga adalah antara deejay yang tersenarai dalam pencalonan awal Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) yang bakal berlangsung pada 30 April depan.

Lin, 40, berkata, dia tidak menjangkakan tersenarai dalam kedua-dua anugerah itu berikutan saingan lebih sengit apabila kategori tersebut digabungkan antara penyampai lelaki dan wanita.

"Saya bersyukur dan tidak sangka tersenarai kerana pada pencalonan awal saya lihat peluang itu tipis berikutan tahun ini kategori wanita dan lelaki digabungkan.

"Saya pun tidak bersungguh-sungguh berkempen pada pencalonan awal kerana rasakan seperti tidak berpeluang sehinggalah bila nama saya terpapar di skrin pada pengumuman ABPBH 29 dan juga pencalonan awal APO2016," ujarnya.

DJ Lin diumum sebagai lima finalis dalam kategori Penyampai Radio Popular di ABPBH29 yang diumumkan di Balai Berita NSTP, Bangsar di sini pada Rabu lalu.

Lima penyampai lain yang turut tercalon ialah Abby Fana (Sinar), Deen (Hot), Feeya Iskandar (Sinar) dan Fizie (Hot).

Menerusi APO2016 pula dia bersaing dengan lebih 40 penyampai radio lain.

Barisan finalis ABPBH 26 yang diumumkan pada Rabu.
Tambah Lin, dia melihat perkara tersebut sebagai rezeki berganda baginya tahun ini yang mana dia juga turut dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengurus Program di Suria FM.

"Saya melihat tahun ini sebagai tahun rezeki dan peningkatan kerjaya saya. Alhamdulillah awal tahun saya dinaikkan pangkat di Suria FM.

"Saya lihat rezeki berganda seperti pada tahun 2010 yang mana saya menang dua kategori di Anugerah Seri Angkasa bagi Kategori Penyampai Radio Wanita Terbaik dan Rancangan Interaktif Terbaik (Suria Cinta)," ujarnya yang sudah tiga kali tersenarai pada lima terbaik ABPBH.

Sementara itu, DJ Lin berkata, dia berjaya memecahkan persepsi masyarakat sebelum ini yang menganggap siaran radio pada segmen malam kurang mendapat perhatian.

"Saya gembira dapat membawa nama Suria FM dan secara tidak langsungnya membuang persepsi yang berpendapat segmen malam kurang sambutan.

"Saya juga berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjaya saya dan tidak henti-henti memberi semangat untuk saya terus berjuang," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: