Sunday, March 27, 2016

Sedia terus bergandingan: Erra Fazira profesional



Erra Fazira
Erra Fazira
KELIBAT figura berusia 42 tahun ini di dalam bidang seni, sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Pernah mendapat jolokan Primadona Filem Melayu Alaf Baru, kehadirannya sememangnya sentiasa dinantikan peminat dunia seni tanah air.
Biarpun kelibatnya di dalam bidang lakonan mula perlahan lantaran muka-muka baharu mula mewarnai industri seni, namun ia tetap tidak mengurang populariti selebriti yang dikenali dengan nama Erra Fazira ini.
Selepas kali terakhir muncul menerusi filem Longkai pada tahun 2013, Erra kini kembali menerusi Warna Cinta Impian.
Lebih manis, dia juga kembali di layar perak bersama gandingan paling idealnya suatu ketika dahulu, Awie.
Biarpun gandingan mereka merupakan gandingan kedua selepas lama terpisah, namun Erra berkata, dia bersedia untuk terus bergandingan bersama Awie andai ada naskhah yang sesuai pada masa akan datang.
“Alhamdulillah ketika kami menjalani penggambaran pada tahun 2014, kebetulan kami baharu sahaja bergandingan menerusi sebuah teater. Jadi bila bekerja untuk kali kedua, kami sudah selesa untuk duduk berbual.
“Awie juga sangat profesional dan dia banyak memberi idea serta kami juga berkongsi idea untuk mendapatkan dialog sesuai bagi babak melibatkan kami,” katanya ketika ditemui Zass selepas majlis tayangan filem lakonannya di Cathay Cinneplex, Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Menganggap kemunculan mereka sebagai mengimbau kenangan dalam filem Sembilu yang ditayangkan pada tahun 1994, Erra berkata, dia tidak kisah jika ada sesetengah pihak menyifatkan kemunculan dia dan Awie di dalam filem sebagai tarikan.
“Tidak dinafikan bila mereka mahukan kami, apa motifnya? Tapi kalau ia membawa kebaikan tidak mengapa. Lagipun penerbit dan pengarah merupakan peminat setia Sembilu.
“Cuma kami tidaklah mengekalkan nama watak kami di dalam Sembilu dan ini juga adalah idea Awie untuk menggunakan nama Erra dan Awie sahaja di dalam filem ini.
“Walaupun kami cuma watak sampingan, kami tetap lakukan yang terbaik supaya kehadiran kami di dalam filem itu tidak nampak macam menyemak sahaja,” jelasnya.
Diusik kemesraannya dengan Awie sepanjang sesi pratonton berkenaan, Erra berkata: “Alhamdulillah hubungan kami baik. Saya pun dah anggap dia macam abang dan kami boleh bergurau.
“Tapi janganlah kerana kami nampak baik, maka orang suruh kami kembali bersama. Kalau saya baik dengan orang ini, di suruh pula bersama orang ini,” ujarnya.
Kerjaya & bisnes
Dalam pada itu, di tanya mengenai perkembangannya kini, Erra berkata, dia kini hanya terlibat dengan program Kilauan Emas Otai dan dalam masa sama, sibuk menguruskan perniagaan pakaian yang sudah lama diusahakan.
“Filem lakonan saya, Soulmate, baharu sahaja menjalani penggambaran. Saya bergandingan bersama Taufik Batisah dan Raja Ilya.
“Kemudian saya juga ada merancang untuk menyertai teater di bawah produksi sahabat saya, tetapi semuanya masih dalam perancangan.
“Dari segi karier nyanyian pula, saya memang tidak merancang untuk membuat album, tapi sekiranya ada tawaran merakamkan single, saya sedia berbuat demikian dan saya juga sering berkata perkara sama apabila berjumpa dengan mana-mana komposer,” katanya.
Hormati keputusan Emran
Sementara itu, ditanya mengenai anaknya, Engku Aleesya, 7, yang dilihat tidak didedahkan di dalam bidang seni, akui Erra, dia menghormati keputusan bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang tidak mengizinkan Aleesya terlibat dalam dunia seni pada usia muda.
Jelas Erra, dia tidak mempunyai masalah dengan keputusan Emran dan beranggapan ia lebih sesuai memandangkan Aleesya masih kecil.
“Dulu ketika saya kecil, ibu saya, Azizah Zaik, juga tidak membenarkan saya aktif di dalam bidang seni sebelum habis sekolah.
“Jikalau Aleesya sudah habis sekolah dan dia sendiri mahu aktif, saya rasa tidak salah untuk membenarkan dia. Tapi biarlah dia yang buat keputusan sendiri nanti,” jelasnya.
Erra mengakui, Aleesya menunjukkan minat terhadap bidang kecantikan dan seni, namun turut beranggapan ia adalah perkara normal bagi mana-mana kanak-kanak.
“Tidak dinafikan dia adalah antara pengkritik fesyen saya. Contoh bila saya pakai sesuatu, dia akan bagitahu pendapatnya dan dia juga suka bergaya serta nampak cantik.
“Malah dia juga suka menyanyi dan menari, tapi yang itu saya rasa semua budak sebegitu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: