Sunday, March 27, 2016

Bekas askar kini bergelar usahawan



Bekas askar kini bergelar usahawan
Roslan di hadapan kedainya yang terletak di bandar Temerloh yang beroperasi jam 10 pagi sehingga 10 malam, setiap hari.
TAWARAN memiliki perniagaan daripada mentornya bagaikan anugerah bernilai kepada pemilik Zhafir Herbs, Roslan Mohamad kerana ianya di luar jangkaannya.
Roslan, 30, yang merupakan bekas askar wataniah berkata, tawaran menjalankan perniagaan produk kesihatan dan kosmetik itu diterima dengan hati terbuka.
Tanpa mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan, Roslan mahu membuktikan dia akan berjaya dalam bidang diceburinya itu.
"Perniagaan ini bukan satu perkara yang mudah dan mampu memberikan keuntungan sekelip mata, banyak cabaran yang bakal ditempuhi.
"Saya nekad menguruskan perniagaan ini dan optimis akan berjaya," katanya.
Urus kedai bermasalah
Sebagai pendatang baharu dalam perniagaan produk kesihatan dan kosmetik, Roslan sentiasa membaca mengenai produk yang dijual apabila mempunyai masa lapang.
"Perniagaan sangat berbeza dengan kerjaya saya sebelum ini kerana saya perlu bijak merencanakan perniagaan untuk memajukannya dan menjana keuntungan.
"Berbanding sebelum ini, sebagai askar wataniah, saya bertugas dalam persekitaran lasak dan kasar," katanya yang menjalankan perniagaan di Temerloh, Pahang.
Roslan berkata, dia tidak mahu menoleh belakang lagi dan memulakan perniagaan pada 1 Ogos tahun lalu.
Roslan mengakui kedai yang diuruskan itu sebenarnya menghadapi masalah dari segi jualan, namun bantuan daripada mentornya yang berjaya dalam bidang perniagaan sama, menaikkan semangatnya untuk memulakan langkah baharu.
Jualan makin meningkat
Roslan bijak merencanakan perniagaannya bagi memastikan ia bertahan lama.
“Saya ikut semua apa yang mentor saya buat dan mempelbagaikan promosi untuk menaikkan jenama Zhafir Herbs supaya dikenali.
“Lokasi perniagaan di tengah bandar banyak membantu kerana memudahkan pelanggan mencari kedai. Selepas beberapa bulan menjalankan perniagaan, saya dapati jualan semakin meningkat setiap bulan,” ujarnya.
Katanya, bagi memastikan produk jualan di kedainya sentiasa terjual, dia membuat promosi penghantaran jualan secara percuma kepada pelanggannya.
Roslan bersyukur kerana usaha berterusan selama enam bulan lalu semakin menampakkan hasil dan dia mahu memastikan kerja keras yang dibuat itu berbaloi.
“Selain berniaga, saya berniat membantu perniagaan kecil diusahakan Bumiputera. Saya beri peluang kepada mereka meletakkan produk mereka di kedai saya,” ujarnya.
Katanya, dia kini membuat promosi kad ahli Zhafir Herbs yang memberi diskaun sehingga 10 peratus kepada ahlinya yang membeli setiap barangan melebihi RM10.
Roslan merancang mengembang perniagaannya dan membuka beberapa cawangan baharu dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: