Faizal AF4.
LAMA menghilang. Banyak episod hitam dilaluinya sepanjang hampir 11 tahun menyepikan diri. Menempa populariti seawal usianya 21 tahun, kini pemuda berasal dari Terengganu ini ingin bangkit.
Berazam ingin lupakan segala sejarah hitam yang dilaluinya, Faizal AF4 kini dalam fasa meneruskan kesinambungan kejayaan yang pernah diraih.
Bertemu Faizal baru-baru ini, seakan melihat wajah baru yang masih segar. Dia tidak malu mengaku apa juga kesilapan yang pernah dilalukan. Semua itu nyata mematangkan dirinya sekarang.
“Alhamdulillah... saya sudah bersedia dan tidak sabar untuk bertempur dalam bidang ini. Saya minat menyanyi. Apa yang saya lakukan, usahlah diungkit lagi. Saya mahu lupakan, dan berharap 2016 ini menjadi detik penentu kejayaan saya dalam bidang seni.
“Saya mahu buat yang terbaik sebagaimana pernah dilakukan dulu. Masyarakat mengangkat saya tinggi. Sudah pasti mereka percaya pada saya ketika itu. Jadi, saya perlu meneruskan kehidupan ini dan berusaha mencari semula tempat saya itu,” katanya.
Berbekal semangat dan keinginan itulah, Faizal tetap mahu menggunakan ‘AF4’ bagi menguatkan lagi dirinya.
“Siapa tidak bangga jika dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia? Jadi, wajarlah saya bawa nama itu sampai bila-bila.
“Bukan tak bermakna saya tidak yakin, cuma ia sebagai penguat semangat untuk saya,” ujarnya.
Sekembalinya Faizal, dia yakin akan dapat memberikan yang terbaik buat peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan.
“Saya bersyukur kerana ada peminat dan keluarga yang sentiasa memberi dorongan pada saya. Merekalah segala-galanya buat saya.
“Kerana itu, saya kini sedang mencari material sesuai dan mencari komposer yang boleh membuat lagu untuk saya,” katanya yang pernah hit dengan lagu Datanglah.
Faizal beruntung kerana lagu itu sering dijadikan runut lagu untuk drama-drama tempatan membuatkan peminat menyangkakan dia masih aktif menyanyi.
“Saya bersyukur lagu itu menjadi pilihan. Sebab itulah, saya berharap buah tangan saya nanti akan ada impak seperti lagu itu.
“Saya tidak mahu mendabik dada tetapi, saya yakin dengan apa yang ada hari ini, saya mampu berikan yang terbaik,” katanya yang akan menjadi bapa tidak lama lagi.
Isterinya kini sedang mengandung empat bulan dan ia juga dianggap sebagai penyuntik semangat untuknya terus hidup dalam industri seni tempatan.
Biarpun belum ada lagu, namun pengurusan Faizal sudah pun merangka program untuknya pada Mei depan.
Faizal akan mengadakan majlis minum petang bersama peminatnya di Menara Kuala Lumpur pada 28 Mei akan datang, jam 3 petang.
Majlis Sepetang Seindah Awan itu turut menggandingkan Faizal dengan penyanyi rock Datuk Royce Sayaan. Kepada yang berminat, bolehlah menghubungi Linda di talian 012-5570118 atau facebook/FaizalAF4. Bayaran yang dikenakan hanyalah RM100 sahaja.
Azam jadi ikon belia
Umum mengetahui sejarah hitam Faizal dalam tempoh beberapa tahun ini. Selain bangkit dan berjuang dalam bidang nyanyian, Faizal sebenarnya kini aktif dalam bidang perniagaan.
Pada usia 32 tahun, Faizal mengusahakan perniagaan kesihatan dan kecantikan. Jenama Beauty 18 adalah usahasama antara Faizal dan rakan kongsinya, Linda.
“Kami sama-sama mengusahakan produk ini. Saya sendiri mengamalkan produk kesihatan G-Cell lebih setahun lalu. Kesannya, saya semakin aktif kerana ia membantu daripada sudut dalaman.
“Selain kesihatan, produk kecantikan juga menjadi antara yang menjadi fokus kami. Ada bedak, gincu, dan beberapa lagi produk kecantikan kami yang sudah menjengah pasaran.
"Sepanjang bersama produk ini, kami menerima banyak respons yang baik daripada pengguna. Kerana itu, saya bersemangat. Saya berazam untuk menjadi ikon belia dalam bidang nyanyian dan juga perniagaan.,” katanya.
Dia yakin, dengan kesungguhan dan kepercayaan yang diberikan ramai pihak, perniagaan yang diusahakan akan mendapat tempat di hati pengguna.
“Saya tidak malu untuk jual produk kesihatan dan kecantikan. Ia sesuatu yang bagus kalau dapat berkongsi perkara elok dengan orang lain.
“Saya juga akan kerap turun padang untuk memastikan produk ini mendapat tempat,” katanya.
Produk yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan ini juga sudah lama bertapak di pasaran tempatan.
Baginya, bersaing dalam perniagaan ini merupakan sesuatu yang positif.
"Banyak produk di pasaran. Pengguna hanya perlu mencari yang benar-benar sesuai dengan diri mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: