Sunday, March 27, 2016

Kaki Bengkak, Remy Ishak Beri Persembahan Terbaik Dalam 'Cindua Mato'



Remy memeggang watak Cindua Mato.
KUALA LUMPUR: Pelakon Remy Ishak berjaya memberi aksi bertenaga ketika pementasan teater tradisional berjudul Muzikal Randai Cindua Mato pada Khamis di Panggung Sari, Istana Budaya di sini biarpun berhadapan dengan masalah kaki bengkak akibat terseliuh.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimie Ishak, 34, berkata, dia mengalami kecederaan tersebut sebelum latihan teater berkenaan iaitu ketika menjalani penggambaran sebuah drama aksi terdahulu.

"Kaki saya sakit kerana bengkak terseliuh ketika penggambaran drama yang memerlukan saya bertarung, ketika sesi latihan tiga minggu lalu saya agak risau dan beritahu kepada pengarah tentang perkara itu.

"Alhamdulillah malam ini (Khamis) saya dapat beri lakonan yang baik dan kaki saya tidak memberi masalah ketika melakukan aksi pertarungan," ujarnya.

Persembahan Remy tidak mengecewakan.
Remy berkata demikian ketika ditemui selepas pra-tonton media teater Muzikal Randai Cindua Mato, di Panggung Sari, Istana Budaya malam Khamis.

Teater yang turut menampilkan pelakon berbakat seperti Vanidah Imran, Ebby Yus, Azhan Rani dan Datuk Jalaludin Hassan itu mula dipentaskan bermula Jumaat sehingga Ahad ini.

Tambah Remy, dia memikul tanggungjawab yang agak berat dalam menjayakan watak utama sebagai pahlawan Cindua Mato.

Watak yang diambil daripada naskah lama masyarakat Minangkabau ini memerlukannya membuat kajian karakter terlebih dahulu bagi menjiwainya.

"Watak ini berat dan sangat mencabar kerana ia adalah naskhah yang diangkat menjadi sejarah masyarakat Pagar Ruyung.

"Cindua Mato merupakan seorang pahlawan yang dianggap mulia di mata masyarakat berkenaan, saya banyak buat kajian bagi mengetahui lebih dalam tentang karakter ini.

"Watak Cindua Mato boleh diibaratkan seperti Hang Tuah bagi masyarakat kita," ujarnya.

Salah satu babak menarik dalam teater berkenaan.
Sementara itu, pengarahnya Lokman Ghani, turut mengakui pengalaman Remy sebagai pelakon membuatkan dia berjaya menjiwai watak Cindua Mato dengan baik seperti digambarkan.

"Alhamdulillah, persembahan malam ini berjalan dengan lancar dan ada beberapa ruang-ruang kosong yang perlu saya penuhi untuk persembahan esok.

"Secara keseluruhan malam ini saya berpuas hati dengan lakonan Remy dan dia buat seperti yang saya mahukan dalam sesi latihan tiga minggu.

"Sepanjang pementasan ini banyak aksi pertarungan yang terpaksa dilakonkan sehingga kaki dia bengkak," ujarnya.

Tambah Lokman, naskhah yang diambil daripada sejarah masyarakat Minangkabau itu mempunyai cabaran tersendiri terutamanya dalam penggunaan bahasa.

Selain itu Lokman berkata, dia menyesuaikan dan menambah nilai kormersial kepada teater tradisional itu agar tidak bosan untuk ditonton dalam durasi kira-kira dua jam.

Vanidah Imran membawa watak Bundo Kanduang.
Muzikal Randai Cindua Mato mengisahkan tentang perjuangan pahlawan Cindua Mato dalam mempertahankan negeri Pagar Ruyong dan meletakkan adat masyarakat itu ditempat tertinggi.

Pementasan turut diselang selikan dengan tarian yang diiringi gabungan pemuzik Istana Budaya dan kumpulan kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Teater ini turut mendapat sentuhan komposer Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah sebagai pengarah muzik.

Tiket bagi menyaksikan persembahannya boleh didapati dengan harga RM25, RM55 dan RM85 atau dengan membuat pembelian menerusi www.airasiaredtix.com atau di kaunter box-offce Istana Budaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: