KAMPUNG DATO’ SRI HAMZAH - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Unit Kampung Dato’ Sri Hamzah menyarankan setiap rumah di kampung itu menternak lebah kelulut sekurang-kurang 10 koloni bagi menampung permintaan pasaran madu kelulut dalam negara.
Pengerusinya, Zamani Rahim berkata, madu kelulut mendapat permintaan tinggi namun tahap pengeluarannya masih rendah.
Menurutnya, industri penghasilan madu kelulut perlu diperkembangkan terutamanya di kawasan luar bandar.
“Di sini terdapat lima pengusaha madu lebah kelulut dan kita berhasrat memperluaskan lagi aktiviti penternakan ini bagi mewujudkan satu jenama baharu khas dari unit PPK ini.
“PPK akan melakukan promosi di seluruh kampung untuk menarik minat penduduk menternak lebah kelulut di rumah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sijil Kursus Ternakan Lebah Kelulut yang disampaikan Pengerusi Pengelola Mardi Malaysia, Datuk Mohd Fadil Osman di sini, semalam.
Zamani yang juga Ahli Lembaga Pengarah PPK Daerah Bera berkata, projek itu tidak memerlukan modal besar melainkan teknik penjagaan yang betul dan dalam tempoh tertentu, madunya sudah boleh diambil untuk dipasarkan.
“PPK sedia menjadi agen pemasaran hasil madu penduduk di sini seperti dilakukan untuk produk-produk Industri Asas Tani (IAT) di kawasan lain,” katanya.
Menurutnya, dengan adanya pengusaha madu kelulut sedia ada dan bantuan yang bakal diberikan pihak Mardi, usaha itu akan dapat direalisasikan sekiranya penduduk sanggup mengambil peluang  bagi menambah pendapatan mereka
.