Friday, December 4, 2015

Mahu Elak Pembaziran, Perkahwinan Akim & Stacy Sederhana




Akim Ahmad mahu majlis perkahwinannya dengan Stacy bersifat sederhana.
PETALING JAYA: Penyanyi Akim Ahmad berharap dapat mengelakkan pembaziran dalam membuat persiapan perkahwinannya dengan Stacy pada Februari depan.

Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 24, berkata, selepas berbincang dengan keluarga, dia dan Stacy, 25, mahu perkahwinan mereka berlangsung secara sederhana agar wang yang sedia ada dapat digunakan selepas bergelar suami-isteri nanti.

Bagi saya cukuplah majlis pernikahan dan persandingan kami nanti bersifat sederhana.

"Saya tidak mahu berlakunya pembaziran pada majlis itu. Saya percaya kami lebih memerlukan wang tersebut selepas berkahwin," katanya kepada mStar Online.

Stacy

Akim ditemui pada sidang media program Mentor Milenia di Sri Pentas TV3 di sini pada Khamis.

Majlis pernikahan tersebut akan diadakan di kediaman Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam,  di Penampang, Sabah, manakala majlis resepsi pihak lelaki akan berlangsung di rumah keluarga Akim di Johor Baru.

Sementara itu, kata Akim, segala persiapan dan urusan perkahwinan  diserahkan sepenuhnya kepada pihak keluarga memandangkan dia dan Stacy sibuk dengan urusan kerja.

"Setakat ini, persiapan perkahwinan  diuruskan sepenuhnya oleh keluarga.

"Kami sekadar memberi pendapat dan apa yang kami mahukan dalam majlis itu nanti. Ada juga beberapa pihak yang ingin menaja perkahwinan kami. Cuma saya belum membuat keputusan lagi. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar," ujarnya.

Akim dan Stacy telah bertunang pada 26 September lalu dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: