
Peter bersama beberapa set drum ciptaannya.
DRUM merupakan alat muzik penting bagi melengkapkan sesebuah lagu. Sejarah drum dipercayai bermula kira-kira 4000 tahun sebelum Masihi di Mesir di mana, ia dimainkan semasa majlis keraian, perkahwinan dan lain-lain lagi.
Pada masa kini, penggunaan drum sangat meluas dan tidak mengira majlis sekalipun. Alat muzik ini juga digunakan di pelbagai genre muzik seperti rock, jazz, pop dan lain-lain.
Terdiri daripada beberapa alat muzik seperti symbol, high hat, tomb dan juga snare. Kebanyakan alat ini adalah besar dan jika mahu membawa kesemua alat ini, ia memerlukan kenderaan dengan keluasan ruang yang besar.
Walau bagaimanapun, drum tetap boleh dibawa dengan menggunakan kereta tetapi perlu berulang alik supaya anda dapat membawa kesemua alat drum ini.
Itulah masalah yang dihadapi ahli muzik, Peter Lau, 53, setiap kali perlu membuat persembahan di mana-mana tempat.
Menceburi bidang ini sejak 15 tahun lalu, Peter terpaksa berulang-alik mengambil set drum dari rumahnya ke lokasi persembahan.
“Kadang-kadang, saya terpaksa berulang-alik sebanyak lima kali dari rumah ke lokasi persembahan. Sudahlah lama di perjalanan, nak memasang drum ini pula mengambil masa yang agak lama.
“Selesai memasang drum, saya memerlukan masa lagi untuk melakukan pemeriksaan bunyi drum supaya semua bunyi ini sempurna semasa persembahan,” katanya.
Berikutan itu, Peter mula berfikir cara atau kaedah bagi menyelesaikan kesemua masalah dihadapinya.
"Saya pernah cuba mencari set drum kecil untuk memudahkan urusan. Setelah beberapa bulan mencari, saya gagal menemui mana-mana set drum jenis itu.
“Saya terfikir untuk membina satu drum mudah alih. Sejak dari itu, saya bertekad untuk membuat set drum sendiri," katanya.
Bantuan tukang kayu
Lebih menggembirakan apabila Peter mendapat bantuan seorang rakan baik yang juga seorang tukang kayu menawarkan diri membantunya.
Pada mulanya, mereka melalui pelbagai cabaran untuk membina drum kerana kesukaran mencari bahan-bahan untuk mencipta alat muzik berkenaan.
"Namun, hal berkenaan sedikit pun tidak mematahkan semangat kami untuk membina alat muzik itu.
"Akhirnya, kami pergi mencari bahan buangan yang boleh membentuk drum. Mencari bahan untuk membina sebuah drum adalah cabaran agak besar. Ini kerana, mereka terpaksa mencari objek yang benar-benar sesuai untuk dijadikan sebagai drum.
“Kami mencari bahan seperti set drum terbuang, papan lapis, batang paip PVC, dan lain-lain lagi. Untuk mereka badan sebuah drum, kami memperuntukkan kira-kira dua jam untuk merekanya,” katanya.
Setelah bertungkus-lumus selama dua hari, mereka berjaya menyiapkan drum berkenaan.
"Kali pertama saya membawa drum tersebut ke persembahan, ada di kalangan kru persembahan dan penonton yang mentertawakannya. Tetapi, ketika mula bermain, mereka yang hadir dalam persembahan itu terpegun dengan bunyi yang dihasilkan. Setelah tamat, ramai datang untuk melihat drum ciptaan saya," katanya.
Sedia kongsi rekaan
Episod itu menjadi titik permulaan buat Peter apabila ramai yang berhasrat menempah drum seperti itu.
“Drum ini dicipta untuk kepuasan saya dalam bermain muzik dalam sesebuah majlis,” katanya.
Peter memberitahu, dia bersedia berkongsi ilmu dan maklumat dengan mana-mana syarikat yang berminat untuk membina drum berkenaan.
"Sekiranya drum itu dijual, ia akan bermula pada harga RM3,000 hingga RM5,000. Mungkin ada yang kata ia agak mahal, harga drum itu dinilai kerana setiap rekaan akan mengikut citarasa dan kehendak pembeli," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: