BEMBAN - Seorang tukang rumah berjaya menjinakkan seekor ular tedung selar sepanjang empat meter sebelum menangkap ular itu yang menceroboh masuk sebuah rumah penduduk di Kampung Ulu Duyong, malam kelmarin.

Mohd Razak Taib, 53, berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 10 malam, dia menerima panggilan daripada penduduk dikenali sebagai Yazid dan meminta bantuan menangkap ular seberat 11 kilogram yang masuk ke dalam rumahnya.

Menurutnya, dia yang berpengalaman menangkap lebih 1000 jenis ular pelbagai saiz berjaya menjinakkan lalu menangkap ular jantan itu yang dipercayai baru tiga hari bersalin kulit hanya dalam tempoh dua minit.

“Nasib baik ular tersebut berselindung di sebalik tong jadi tiada masalah untuk menangkapnya sebelum dilepaskan dalam hutan semula.

“Ini antara yang terpanjang dan sebelum ini juga pernah menangkap ular sawa sepanjang sembilan meter dan seberat lebih 100 kilogram di Ayer Molek,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Razak yang lebih dikenali sebagai Razak Ular berkata, dia yang berpengalaman lebih 40 tahun mempelajari ilmu menangkap ular daripada arwah bapanya sejak kecil lagi.

Menurutnya, walaupun ilmu tersebut tidak pernah diajar kepada empat orang anak lelakinya kerana menyedari bahaya, namun kesemua anaknya mahir menangkap ular dan mempunyai minat ke arah itu.

“Saya tak pernah mengajar mereka menangkap ular kerana pekerjaan ini berisiko tinggi, tapi sebagai bapa saya tahu mereka juga berminat.

“Sehinggakan anak bongsu saya yang baru berusia 10 tahun juga berjaya menangkap ular hitam yang menceroboh masuk di sekolahnya baru-baru ini,” katanya.

Tambah Mohd Razak walaupun pernah dua kali dipatuk ular, namun insiden itu tidak melemahkan semangatnya untuk membantu orang ramai terutama sebelum bantuan seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan anggota Bomba dan Penyelamat tiba tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Saya ikhlas menjadi sukarelawan membantu mereka yang memerlukan kerana minat dari kecil menangkap ular tanpa mengharapkan balasan,” katanya yang pernah dipanggil untuk menangkap ular di Gunung Ledang.