Antara herba yang sudah dikeringkan dan menunggu untuk diproses menjadi minuman.
DENGAN berbekalkan 112 jenis tumbuhan herba dibelinya di Indonesia lebih enam tahun lalu, seorang bekas guru penolong kanan sekolah menengah, kini boleh berbangga sebagai seorang usahawan berjaya.
Mula berjinak-jinak dengan penanaman pokok herba di kawasan rumahnya selepas bersara sebagai pendidik pada 2004, titik perubahan bagi Ya’acob Sharif, 69, hanya bermula selepas beliau menghadiri Kursus Nasional Perubatan Herba Karyasari Indonesia di Jakarta pada tahun 2009.
Berbekalkan pengetahuan yang diperoleh serta 112 jenis tumbuhan herba yang dibelinya di negara berkenaan, Ya’acob mula melibatkan diri dalam pengeluaran produk secara serius.
Antara tumbuhan herba yang ditanam di kawasan rumahnya di Kampung Bukit Pulau termasuklah Mahkota Dewa, Kaca Beling, Mas Cotek, Hempedu Bumi, Cekur, Misai Kucing, Sabung Nyawa, Temulawak, Temumangga dan Mempahit.
Dengan modal RM100,000 serta kerjasama, khidmat nasihat dan runding cara dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Jabatan Pengajian Politeknik beliau terus membuat keputusan untuk memproses herba yang ditanamnya menjadi teh dan produk lain.
“Dengan ilmu yang saya dapat daripada kursus-kursus dalam dan luar negara selain nasihat universiti-universiti, saya mula memproses herba-herba menjadi Teh Kaca Beling, Teh Misai Kucing, Teh Mas Cotek dan pelbagai minuman kordial berasaskan herba.
“Pada waktu sama, saya turut memohon sijil pengesahan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk kesemua produk yang dikeluarkan bagi membolehkan ia dipasarkan ke seluruh negara,” katanya.
Menggunakan 100 peratus herba asli yang ditanam sendiri, minuman herba yang dihasilkan Ya’acob dikatakan mampu membantu mereka yang mengidap penyakit seperti darah tinggi, diabetes, buasir, batu karang, kanser dan sakit saraf.
Menurut Ya’acob, beliau sentiasa mengutamakan kualiti produk yang dihasilkan, di mana hasil kerjasama dengan beberapa universiti, mereka sering memantau kualiti herba yang digunakan selain menjalankan kajian mengenai tahap kemampuan herba yang digunakan sebagai penawar alternatif.
Malah menurutnya, populariti teh herba yang dihasilkannya semakin mendapat tempat selepas banyak mencuba dan mendapati ia berkesan.
“Selain Melaka, produk ini juga mendapat tempat dalam kalangan pengguna di beberapa negeri lain termasuk di pantai timur, Sabah dan Sarawak serta Singapura.
“Walaupun kos pembuatan tinggi kerana herba-herba yang digunakan perlu diproses dengan teliti untuk mengekalkan standard perusahaan, namun ia bukan alasan untuk saya naikkan harga kerana niat saya adalah membantu pesakit,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: