Monday, October 5, 2015

Sebanyak 200,000 graduan menganggur



Shamsuddin Bordan
Shamsuddin menyampaikan dialog bertajuk ‘Pasaran Buruh Semasa - Dari Pandangan Majikan’ sempena Kolokium Pekerja semalam.
IPOH – Kira-kira 200,000 graduan institusi pengajian tinggi (IPT) sukar untuk mendapatkan pekerjaan apabila kerajaan meningkatkan had umur persaraan sejak 2013.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bordan berkata, apabila perkara itu berlaku, pihak swasta tidak dapat mengambil pekerja baharu untuk menggantikan kakitangan yang sepatutnya bersara.

Menurutnya, pada tahun ini, kerajaan memberhentikan pengambilan pekerja sehingga menutup peluang antara 13,000 hingga 15,000 pekerjaan di sektor awam.

“Akibat daripada itu, keupayaan sektor swasta untuk mengambil pekerja terkekang kerana faktor ekonomi yang tidak menentu,” katanya kepada pemberita pada sidang media Kolokium Pekerja anjuran DAP, di sini semalam.
Hadir sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Shamsuddin berkata, kerajaan dicadangkan supaya memberikan insentif tertentu kepada majikan yang mengambil graduan untuk bekerja.

“Sebagai contoh, jika majikan diberikan insentif, mereka boleh mengambil graduan yang tamat pengajian daripada IPT kira-kira dua tahun untuk bekerja dengan membayar dua bulan gaji sebagai subsidi.

“Sekarang ini pun ada insentif sedemikian tetapi dihadkan kepada wanita yang berhenti kerja dan masuk semula bekerja sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh mereka berhenti dan masuk semula bekerja serta menerima satu bulan gaji daripada majikan.

“Kita rasa insentif sedemikian perlu diberikan kepada majikan supaya kita dapat mengurangkan jumlah graduan yang menganggur,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu pemberhentian pekerja, beliau berkata, kira-kira 10,000 pekerja diberhentikan dari Januari hingga Julai 2015.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: