Ismail mengangkut tongkat ali di pondoknya sebelum dijual kepada orang ramai
MARAN - Kegigihan sepasang suami isteri Orang Asli untuk menyara keluarga, menyebabkan mereka sanggup tinggalkan anak dan ‘menghuni’ sementara dalam hutan bagi meneroka hasil bumi, tongkat ali dan kacip faitmah di sekitar Hutan Payar Bungor, di sini.
Ismail Lambak, 41, dan isterinya Saedah Samsuri, 38, menyara keluarga dengan menjual akar kayu dan hasil hutan sejak 10 tahun lepas, berteduh sementara di sebuah pondok beratapkan nipah, tanpa kemudahan bekalan elektrik dan air di tepi Jalan
Kuantan-Maran di sini.
Menurut Ismail, pondok sementara itu dibina bagi memudahkan kerja-kerja mereka membersihkan hasil hutan dan tempat mengumpul serta menyusun hasil hutan sebelum menjualnya.
“Kami akan balik ke Runchang, Pekan, seminggu sekali untuk menjenguk enam anak berusia enam tahun hingga 21 tahun yang terpaksa ditinggalkan kerana ada lagi yang masih bersekolah,” katanya keada Bernama di sini Isnin.
Katanya, kebiasaannya mereka masuk ke dalam kawasan hutan seawal 7 pagi dan hanya keluar selewat-lewatnya 7 petang.
“Hasil akar kayu ini juga tidak putus-putus sepanjang tahun cuma sedikit sukar mencarinya pada musim tengkujuh lebih-lebih lagi semasa banjir,” katanya.
Ismail berkata, tongkat ali dan kacip faitmah diketahui umum mempunyai banyak khasiat antaranya dapat menghilangkan sakit badan serta penawar penyakit kencing manis.
Menurut Saedah, hasil hutan mereka itu dijual RM10 sekilogram dan jualan paling banyak hanya mampu mencecah 10 kilogram sehari.
“Bergantung pada permintaan dan kadang-kadang ada usahawan dari luar seperti Kedah, Johor dan Selangor datang memborong satu lori dengan kami untuk diproses jadi ubat,” katanya.
Justeru beliau berharap, supaya pihak berkuasa sentiasa dapat mengawasi kegiatan pencerobohan hutan daripada berleluasa kerana hutan adalah punca rezeki bagi Orang Asli.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: