Monday, October 5, 2015

Elak pakai topeng muka berulang kali



Elak pakai topeng muka berulang kali
Abdul Aziz (tengah) memberikan taklimat mengenai pemakaian topeng muka kepada pelajar SK Kampung Kolam.
ROMPIN – Topeng muka jenis surgical mask yang dipakai ketika jerebu disarankan supaya memakai sekeping sehari sahaja dan mengelakkan memakainya berulang kali kerana dibimbangi boleh mendatangkan masalah kesihatan lain.

Pengerusi Persatuan Farmasi Malaysia Negeri Pahang, Abdul Aziz Jamaludin berkata, kebimbangan mengenai masalah kesihatan akibat memakai surgical mask itu berulang kali disebabkan ia mungkin tercemar ketika memakainya pada kali pertama.

“Seperti yang kita sedia tahu topeng muka perlu dipakai ketika jerebu namun elakkan memakai berulang kali bagi jenis surgical mask atau topeng pembedahan itu kerana ia mungkin sudah tercemar dengan air liur atau sebagainya yang dibimbangi boleh mendatangkan masalah kesihatan lain.

“Topeng muka yang lebih baik dipakai sudah tentu jenis N95 terutama bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan sebagainya selain ia juga jenis yang boleh dipakai lebih sekali,” katanya ketika ditemui di program kempen memakai topeng muka dan banyak minum air ketika jerebu di dua sekolah yang terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Kolam serta Sekolah Menengah Agama (SMA) Rompin yang turut dihadiri Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Mohd Johari Hussain.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang dan Hospital KPJ Kuantan.

Sebanyak 3,000 topeng muka akan diagihkan kepada sekolah terpilih di Rompin berdasarkan keperluan semasa yang memerlukan lebih banyak sumbangan topeng muka daripada pelbagai pihak yang prihatin dengan isu jerebu.

“Setakat ini hampir 2,000 keping telah diedarkan ke beberapa sekolah di sini dan akan terus diagihkan ke sekolah lain selagi jerebu masih ada. "Jika ada mana-mana pihak yang hendak menyumbang topeng muka dan ikut serta dengan program ini sangat dialu-alukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: