Monday, October 5, 2015
Eksplorasi 4 Puncak: Seorang Sekilo Sampah
KULIM - Menyedari pentingnya menjaga kebersihan dan mengekalkan alam sekitar untuk diwarisi generasi akan datang, Eksplorasi 4 Puncak dilancarkan dengan tema Seorang Sekilo Sampah, baru-baru ini.
Ia dianjurkan Kelab Kembara, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim, Kedah dengan kerjasama Persatuan Mata Hati Malaysia, SWCorp Malaysia cawangan Cameron Highlands dan Alam Flora Sdn Bhd cawangan Cameron Highlands.
Program tiga hari bermula 20 Ogos itu disertai 103 peserta iaitu 78 pelajar PTSB (ahli Kelab Kembara), 11 pensyarah dan kakitangan PTSB, kakitangan SWCorp Malaysia (4), Alam Flora Sdn Bhd (2) dan lapan komuniti setempat.
Lokasi program ialah Gunung Brinchang, Gunung Irau, Gunung Berembum dan Gunung Jasar dan program dirasmikan Pengurus Cawangan SWCorp Cameron Highlands, Tengku Fareeq Tengku Abdul Malik dan turut dihadiri Pengurus Cawangan Alam Flora Sdn Bhd Cameron Highlands, Mohd Sufian Yusuf.
Tengku Fareeq berkata, SWCorp Cameron Highlands sedang gigih melaksanakan pengasingan sisa di puncak yang dirasmikan serentak pada 1 September 2015 di seluruh Pahang yang menerima pakai Akta 672.
Katanya, pihaknya giat memberi tunjuk ajar kepada komuniti taman di daerah ini mengenai kepentingan pengasingan sisa dan pelaksanaannya.
"Kolaborasi bersama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya PTSB banyak memainkan peranan kerana ketiadaan IPT di daerah ini, sekali gus membantu dan membuka mata orang ramai terutama penduduk di sini mengenai pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar dan persekitarannya.
"Kami menghargai segala usaha dilakukan bagi merealisasikan harapan untuk menuju ke arah kebersihan. Semoga usaha ini menjadi contoh pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Mata Hati Malaysia, Datuk Ab Rahim Md Noor berkata, pelajar PTSB yang juga ahli Persatuan Mata Hati Malaysia amat prihatin terhadap alam sekitar dan ingin mengajak masyarakat melihat isu alam sekitar dengan pandangan mata hati iaitu manusia perlu menjaga alam sekitar yang dianugerahkan oleh Pencipta demi kesejahteraan kehidupan sejagat.
Menurutnya, Mata Hati merupakan pendekatan menyeluruh dengan melihat sesuatu perkara melangkaui dari apa sebenarnya dilihat dari mata kasar untuk membangkitkan kesedaran serta keinsafan tinggi dari dalam naluri peri manusia.
"Bukan hanya dapat mendidik kita untuk menjadi lebih prihatin dalam memelihara ciptaan di bumi dan persekitaran yang akan memberi faedah kepada manusia malah dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab dan mempunyai etika menjaga kebersihan yang tinggi seiring dengan Wawasan 2020 menjadikan Malaysia sebuah negara maju," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: