Kakitangan JKM dan warga PLKN Ulu Pari bergotong-royong membersihkan kediaman Ahwa, di Pekan Chengkau, semalam.
CHENGKAU - Bukan mudah untuk memujuk seorang warga emas di Pekan Chengkau, di sini, untuk membersihkan tempat tinggalnya yang dipenuhi sampah sarap, lebih-lebih lagi barangan berkenaan sudah dianggap 'hartanya' sejak lebih lima tahun lalu.
Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Rembau, N Jamuna Naidu, beliau dan kakitangannya berulang kali cuba mendekati warga emas yang dikenali Uncle Ahwa, 63, sejak bulan lalu untuk memujuknya.
"Uncle Ahwa adalah salah seorang klien JKM dan menerima bantuan bulanan orang tua sebanyak RM300 sebulan. Kebiasaannya setiap kali kita ingin mengadakan aktiviti gotong-royong di rumah klien, mereka amat mengalu-alukan kehadiran kita.
"Banyak pihak yang sudah tampil menawarkan bantuan membersihkan rumahnya, namun ditolaknya, termasuk tawaran untuk diberikan kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)," katanya, semalam.
Jamuna berkata, sebagai sebuah agensi kebajikan, JKM turut menawarkan perkhidmatan lain untuk lebih dekat dengan masyarakat setempat.
"Akhirnya dia (Uncle Ahwa) bersetuju untuk menjual barangan yang dikutip setelah tiga kali kami berkunjung ke rumahnya. Semasa makan, saya cuba memujuknya dengan memanggilnya ‘papa’ dan dia akhirnya bersetuju.
"Saya turut menyarankannya untuk berehat di rumah dan tidak perlu mengutip barangan terbuang lagi, namun dia enggan dan memberitahu dia masih sihat serta mampu berdikari. Jadi, kami cadangkan kepadanya untuk memungut barangan dikutip dua bulan sekali dan wang hasil jualan akan diberikan terus kepadanya," katanya.
Tambah Jamuna, bagi melicinkan kerja gotong-royong, beliau memaklumkan terlebih dahulu perancangan kepada warga emas berkenaan.
"Dia juga bersetuju apabila kita (JKM) mahu meminta bantuan warga Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ulu Pari untuk mengemas kediamannya termasuk membaik pulih reban ayam miliknya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: