Friday, October 2, 2015

Empat generasi keturunan Munari, Munijah berkumpul



Empat generasi keturunan Munari, Munijah berkumpul
Sebahagian ahli keluarga Munari dan Munijah mengabadikan kenangan dalam perjumpaan kali pertama yang dilakukan di kampung asal mereka di Rengit.
BATU PAHAT - “Ini baru sebahagian, ada lagi yang tak datang, jika semua ada lebih kurang 1,000 orang,” kata Pengerusi Hari Keluarga Haji Munari Sonokeromo dan Hajjah Munijah Ali, Hawasul Munasir.

Program diadakan di Kampung Sungai Kluang, Rengit itu berjaya mengumpulkan lebih kurang 600 ahli keluarga berkenaan termasuk dari Perlis, Langkawi dan Kelantan.

Katanya, lebih manis apabila program yang direncanakan lebih kurang lapan bulan itu turut mengumpulkan sanak-saudara yang tinggal di Brunei dan Singapura.

“Bermula dari arwah atuk (Munari), keluarga ini mempunyai lima generasi dan pada program ini berjaya mengumpulkan sebahagian daripada empat generasi.

“Untuk program pertama kali ini, kami menumpukan kepada sesi suai kenal, sebab ramai yang tak kenal antara satu sama lain, terutama bermula generasi ketiga.

“Perjumpaan dibuat di Kampung Sungai Kluang sebab ini tempat atuk dan nenek mulakan kehidupan mereka setelah datang dari Indonesia,” katanya.

Menurut Hawasul lagi, pihaknya merancang mengadakan perjumpaan itu secara tahunan.

Sementara itu, generasi keempat, Noorsatiah Misnan, 25, berkata, dia terkejut apabila mengetahui keluarganya mempunyai ahli cukup ramai.

Manakala, Erma Farazeila Suardi, 27, berkata, dia tidak menyangka ada kenalannya sebelum ini, sebenarnya memiliki pertalian persaudaraan dengannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: