Friday, October 2, 2015

Sesat angkara gurauan rakan



Sesat angkara gurauan rakan
Ibrahim (kiri) bertanya sesuatu kepada mangsa (kanan) yang berjaya ditemui selepas sesat ketika mendaki Gunung Datuk seorang diri, malam kelmarin
REMBAU - Bukan saja dipercayai menjadi mangsa gurauan rakan-rakan, malah seorang penuntut sebuah kolej swasta dari Kuala Lumpur pasti tidak dapat melupakan insiden sesat ketika mendaki Gunung Datuk, di sini, malam kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Azman, 30, berkata, mengikut perancangan awal, seramai 19 rakan kolejnya berjanji untuk sama-sama mendaki gunung berkenaan, pagi kelmarin.
Bagaimanapun, katanya, tiba waktu dijanjikan, tidak seorang pun rakannya hadir, malah mesej WhatsApp kepada rakan-rakan terbabit juga tidak berbalas menyebabkan dia mengambil keputusan mendaki seorang diri.
Menurutnya, dia memulakan pendakian kira-kira 2 petang dengan berbekalkan makanan serta barangan perkhemahan dan selamat tiba di puncak Gunung Datuk, kira-kira jam 5 petang.
“Saya nekad daki sendiri selepas kawan-kawan yang berjanji nak berkhemah sama tak muncul-muncul.
“Kemudian saya bergerak turun, tapi sebaik tiba di check point pertama berhampiran tapak kaki Gunung Datuk, saya tak nampak arah atau jalan keluar. Saya berusaha cari jalan keluar namun gagal.
“Akhirnya saya hubungi talian 999 untuk minta bantuan,” katanya.
Susulan kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Kassim Hassan bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kira-kira 7.55 malam dan tiba jam 8.15 malam.
Kassim berkata, operasi mencari mangsa dimulakan dan mangsa berjaya ditemui  dalam keadaan selamat kira-kira jam 9.15 malam.
“Polis berjaya mengesan lokasi mangsa kira-kira 80 meter dari tapak kaki Gunung Datuk iaitu di kawasan hutan yang sudah dilapangkan untuk dibuat pembangunan di Solok Sengkuang," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif menasihatkan individu yang berminat untuk mendaki Gunung Datuk untuk mematuhi peraturan ditetapkan iaitu menggunakan juru pandu serta bergerak dalam kumpulan.
“Malah, kita juga berharap agar mana-mana pihak terutamanya perseorangan untuk tidak menjalankan aktiviti mendaki gunung semasa musim jerebu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: